Ahad, 18 Mei 2014

KEBURUKAN TIDAK DISANDARKAN KEPADA ALLAH SWT

Diantara keyakinan Ahli Sunnah wal Jamaah dalam beriman terhadap segala takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT sama ada takdir tersebut merupakan perkara yang baik atau pun buruk.

Ketika Nabi s.a.w mendapat kunjungan dari Malaikat Jibril a.s sebagai seorang manusia untuk mengajarkan kepada para sahabat Nabi s.a.w tentang Islam, Iman, Ihsan dan tanda-tanda hari kiamat. Berkenaan Iman, Jibril bertanya kepada baginda:
أخبرني عن الإيمان

"Khabarkan kepadaku apakah itu Iman?"
 
Baginda s.a.w pun bersabda:

أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر ، وتؤمن بالقدر خيره وشره

"Bahawa engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari akhirat dan beriman dengan takdirNya yang baik dan yang buruk." (HR. Muslim)

Syeikh Muhammad bin Soleh Al-'Utsaimin rahimahullah berkata: 

"Allah Ta'ala mentakdirkan dengan sesuatu kebaikan dan keburukan. Adapun takdirNya yang berupa kebaikan, maka itu adalah semata-mata kebaikan pada takdir tersebut mahupun bagi orang yang ditakdirkannya. Contohnya Allah SWT mentakdirkan bagi seorang hamba dengan rezeki yang lapang, keamanan, keselesaan, petunjuk, pertolongan dan sebagainya, maka ini adalah baik pada takdir dan baik pula terhadap hamba yang menerima takdir itu.

Adapun takdirnya yang berupa keburukan, maka itu adalah baik dalam takdirNya dan buruk pada sesuatu yang ditakdirkan. Contohnya, musim panas dan musim kering yang berpanjangan, maka tentu ini buruk. Akan tetapi takdir Allah dalam perkara ini adalah baik. Allah Ta'ala berfirman:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya: "Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar." (Ar-Ruum: 41)

Maka pada takdir ini tersimpan hikmah yang mulia iaitu kembalinya manusia kepada Allah dari perbuatan maksiat kepada ketaatan, sehingga sesuatu yang ditakdirkan itu buruk sementara takdir itu sendiri adalah baik.

Dan kita mengucapkan (وقنا شر ما قضيت) yang ertinya 'Jauhkan kami dari keburukan yang Engkau takdirkan (sebagaimana yang dibaca dalam doa qunut - pent). Perkataan (ما) di sini adalah isim mausul (kata penghubung) yang bererti keburukan yang telah Allah takdirkan. Maka kadang-kadang Allah mentakdirkan dengan suatu keburukan kerana suatu hikmah yang agung lagi mulia." (Syarah Doa Qunut, Pustaka Imam Asy-Syafi'i, ms. 36-37)

Syeikh Abu Utsman Ismail bin Abdul Rahman As-Sobuni rahimahullah (wafat 449 H) berkata:

"Di antara pegangan, jalan, dan ucapan Ahli Sunnah bahawa kebaikan dan keburukan semuanya daripada Allah dan qada'Nya tidak boleh disandarkan kepada Allah secara bersendirian apa yang disangkakan boleh mengurangi sifat kesempurnaanNya. Maka tidak boleh dikatakan kepadaNya: "Wahai Pencipta monyet-monyet, babi-babi dan kumbang-kumbang!" Walaupun tidak ada satu makhluk pun melainkan Allah yang menciptakan semuanya. Hal yang demikian berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w di dalam doa 'Istiftah' sabdanya:

تبارك وتعاليت والخير في يديك والشر ليس إليك

"Maha suci dan maha tinggi Engkau, ya Allah. Kebaikan di tanganMu dan keburukan bukanlah kepadaMu." (HR. Muslim)

Maknanya -wallahua'lam- ialah keburukan bukanlah perkara yang disandarkan kepadaMu secara bersendirian dan keinginan sehingga dikatakan kepadaMu dalam menyeruMu: "Wahai Pencipta keburukan" atau "Wahai yang menetapkan keburukan" walaupun Dialah yang mencipta dan menentapkan semuanya. 

Oleh kerana itulah, Khidir a.s menyandarkan melakukan keaiban kepada dirinya. Dia berkata sepertimana apa yang telah diberitakan Allah mengenainya di dalam firmanNya:

أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدتُّ أَنْ أَعِيبَهَا

Maksudnya: "Adapun bahtera itu adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut (sebagai nelayan), maka aku bertujuan untuk merosakkan bahtera itu." (Surah Al-Kahfi: 79)

Tatkala dia (Khidir a.s) menyebutkan kebaikan dan rahmat, dia menyandarkan keinginannya kepada Allah azza wa jalla. 

Firman Allah Ta'ala:

فَأَرَادَ رَبُّكَ أَنْ يَبْلُغَا أَشُدَّهُمَا وَيَسْتَخْرِجَا كَنزَهُمَا رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ

Maksudnya: "Maka Tuhanmu menghendaki agar supaya mereka apabila sampai kedewasaannya akan mengeluarkan simpanannya itu sebagai rahmat dari TuhanMu." (Surah Al-Kahfi: 82)

Begitulah juga apa yang telah Allah beritakan tentang Ibrahim, firmanNya:

وإذا مرضت فهو يشفين

Maksudnya: "Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkanku." (Surah Asy-Syu'ara: 80)

Sakit disandarkan kepada dirinya, manakala kesembuhan disandarkan kepada Tuhannya, walaupun semuanya daripada Allah jalla jalaaluh." (Aqidatus-Salaf Ahlul Hadith, Penterjemah: Abdul Wahab Bustami, Jahabersa, ms. 105-107)


Oleh kerana itu, tidak boleh dinisbahkan keburukan atau kejahatan itu dari Allah secara tunggal, namun kejahatan itu termasuk di dalam keumuman firman Allah:

اللَّهُ خَالِقُ كُلِّ شَيْءٍ

Maksudnya: "Allah adalah pencipta segala sesuatu." (Surah Az-Zumar: 62)


𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...