Tuesday, January 14, 2014

KISAH NABI SOLAT DI BETLEHEM

Hadis Anas bin Malik radhiallahu‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bercerita ketika baginda melakukan Isra` dan Mi’raj: “Lalu dia (Jibril) berkata: “Turun dan solatlah!”, maka saya pun turun lalu mengerjakan solat. Lalu dia bertanya: “Tahukah engkau di mana engkau solat? Engkau solat di Betlehem, tempat ‘Isa ‘alaihis salam dilahirkan.” (HR. An-Nasa'i)

Penjelasan: Kisah tentang solat baginda di Betlehem ini datang dari hadis Syaddad bin ‘Aus r.a riwayat Al-Bazzar dalam Al-Musnad (no: 3484) dan Ath-Thabrani (7/282-283/7142) dan juga dari hadis Abu Hurairah r.a riwayat Ibnu Hibban dalam Al-Majruhin (1/187-188) dalam biografi Bakr bin Ziyad Al-Bahili. Ketiga-tiganya adalah hadis yang lemah dan mungkar.

Berikut kesimpulan bantahan Al-‘Allamah Al-Anshary rahimahullahu dalam Al-Qaulul Fashl, halaman. 138-145 terhadap kisah di atas:

(1) Hadis Anas bin Malik radhiallahu‘anhu: Ibnu Katsir rahimahullahu berkata setelah menyebutkan hadis ini dalam rangkaian hadis-hadis tentang Isra` dan Mi’raj ketika menafsirkan ayat pertama dari surah Al-Isra: “Di dalam kisah ini ada gharabah [*] (keanehan) dan sangat mungkar”.

[*] Kata gharib atau gharabah jika digunakan oleh At-Tirmizi dalam Sunannya, Ibnu Katsir dalam Tafsirnya dan Az-Zayla’i dalam Nashbur Royah maka kebanyakannya bermakna dha’if (lemah). Beliau juga berkata dalam Al-Fushul fii Ikhtishari Siratur Rasul, “Gharib (aneh), sangat mungkar, dan sanadnya muqarib. Dalam hadis-hadis yang sahih, ada perkara yang menunjukkan tentang kemungkarannya, wallahu A’lam”. Yakni kisah tentang solatnya baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam di Betlehem ini, tidak ada disebutkan dalam kisah Isra` dan Mi’raj dalam hadis-hadis lain yang sahih.

(2) Hadits Syadad bin Aus radhiallahu‘anhu. Di dalam sanadnya ada perawi yang bernama Ishaq bin Ibrahim ibnul ‘Ala` Adh-Dhahhak Az-Zubaidi Ibnu Zibriq Al-Himshy. Al-Hafiz berkata dalam Al-Fath: “(Orangnya) Jujur, tapi banyak kesalahan (dalam periwayatan). Muhammad bin ‘Auf mengungkapkan bahawa dia pendusta.” Az-Zahabi berkata dalam Al-Mizan: “An-Nasa`i berkata : “(Orangnya) tidak tsiqah”. Abu Daud berkata: “Tidak ada apa-apa (tidak ada nilainya) dan dia dianggap pendusta oleh Muhammad bin ‘Auf Ath-Tha`i, seorang ahli hadis negeri Himsh.”

Ibnu Katsir rahimahullahu berkata dalam Tafsirnya setelah menyebutkan jalan-jalan periwayatan hadis Syaddad ini: “Tidak ada keraguan, hadis ini (maksudkannya adalah yang diriwayatkan dari Syaddad bin Aus) mengandung beberapa perkara, di antaranya ada yang sahih (sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Baihaqi), dan di antaranya ada yang mungkar, seperti (kisah) solat (Nabi Shallallahu alaihi wa sallam) di Betlehem dan (kisah) pertanyaan (Abu Bakar) As-Siddiq tentang sifat Baitul Maqdis dan selainnya, wallahu A’lam.”

(3) Hadis Abu Hurairah radhiallahu‘anhu. Di dalam sanadnya terdapat Bakr bin Ziyad Al-Bahily. Ibnu Hibban berkata: “Syeikh pendusta, membuat hadis palsu dari para tsiqat (perawi-perawi terpercaya), tidak halal menyebut namanya dalam kitab-kitab kecuali untuk dicela.” Beliau juga berkata memberi komentar hadis Abu Hurairah di atas: “Ini adalah sesuatu yang orang awam ahli hadis tidak akan ragu lagi bahawa ini adalah palsu, lebih-lebih lagi pakar dalam bidang ini.” (Perkataan beliau ini dinukil oleh Ibnul Jauzy dalam Al-Maudhu’at (1/113-114), Az-Zahabi dalam Al-Mizan (1/345) dan Asy-Syaukani dalam Al-Fawa`id Al-Majmu’ah fil Ahadis Al-Maudhu’ah halaman 441)

Ibnu Katsir berkata dalam memberi komentar hadis Abu Hurairah ini: “Juga tidak sahih kerana keadaan Bakr bin Ziyad yang telah berlalu.” Yakni beliau menghukuminya sebagai perawi yang matruk (ditinggalkan hadisnya). (Al-Fushul fii Ikhtisari Siratur Rasul, halaman 22)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullahu berkata dalam tafsir surah Al-Ikhlash halaman 169: “Apa yang diriwayatkan oleh sebahagian mereka tentang hadis Isra` bahawa dikatakan kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Ini adalah baik, turun dan solatlah”, maka baginda turun lalu solat, “Ini adalah tempat bapakmu, turun dan solatlah”, merupakan (riwayat) dusta dan palsu. Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah solat pada malam itu kecuali di Masjid Al-Aqsha sebagaimana dalam As-Sahih dan baginda tidak pernah turun kecuali padanya.”

Ibnul Qayyim rahimahullahu dalam Zadul Ma’ad berkata: “Kononnya khabar tentang baginda turun di Betlehem dan solat padanya. Padahal hal itu tidak benar dari baginda selama-lamanya.” (Selesai dari Al-Qaulul Fashl)

Sumber: http://wahabiah.blogspot.com/2010/03/syubhat-dan-hujah-orang-orang-yang.html?m=1

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails