Jumaat, 4 Oktober 2013

Berapa Umur Anak Mesti Diajar Agama?

Pertanyaan: 

Berapakah umur anak yang seharusnya saya sudah mula ajarkan tentang perkara agama?

Jawapan:

Fadhilatusy Syeikh Soleh bin Fauzan Al-Fauzan hafizahullah menjawab: 

“Pengajaran terhadap anak sudah mesti dimulai ketika mereka telah mencapai usia mumayyiz (boleh membezakan antara baik dan buruk - penyunting). Iaitu dimulai dengan tarbiyah diniyah (pendidikan agama), berdasarkan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam:

مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِيْنَ، وَاضْرِبُوْهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ، وَفَرِّقُوْا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

“Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mengerjakan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka jika tidak mengerjakan solat ketika umur sepuluh tahun, serta pisahkanlah mereka di tempat tidurnya.” (HR. Ahmad dan Abu Daud, disahihkan oleh Syeikh Al-Albani rahimahullah dalam Irwa`ul Ghalil, no. 247)


Apabila anak telah mencapai usia mumayyiz, orang tuanya diperintahkan untuk mengajarinya dan mentarbiyahnya di atas kebaikan, dengan mengajarinya Al-Quran dan hadis-hadis yang mudah. Mengajarinya hukum-hukum syariat yang sesuai dengan usia si anak, contohnya bagaimana cara berwudhuk dan bagaimana cara solat. Si anak juga diajarkan zikir-zikir ketika hendak tidur, bangun tidur, ketika hendak makan, minum, dan sebagainya. Selain itu, anak dilarang melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya serta diterangkan kepadanya bahawa perkara tersebut tidak boleh dilakukannya, seperti berbohong, mengumpat, dan selainnya. Sehingga si anak terdidik di atas kebaikan dan terdidik untuk meninggalkan keburukan sejak kecil lagi.

Kenapa pengajaran ini dilakukan pada umur mumayyiz? Ini kerana pada usia ini, si anak telah dapat memahami apa yang diperintahkan kepadanya dan apa yang dilarang. Urusan pengajaran anak ini sangatlah penting. Namun sayangnya sebahagian manusia lalai dari melakukannya terhadap anak-anak mereka.

Kebanyakan orang tidak mementingkan perkara anak-anak mereka. Tidak mengarahkannya dengan arahan yang baik, bahkan membiarkan mereka disia-siakan dari sisi tarbiyah agama. Sehingga si anak tidak diperintah mengerjakan solat dan tidak dibimbing kepada kebaikan, bahkan dibiarkan membesar di atas kejahilan dalam perkara agamanya serta terbiasa melakukan perbuatan yang tidak baik. Anak-anak dibiarkan bercampur-baur dan bergaul dengan orang-orang yang tidak baik, berkeliaran di jalan-jalan, menyia-nyiakan pelajaran mereka (enggan untuk belajar) serta kemudaratan lainnya, yang mana kebanyakan para pemuda muslimin membesar di atasnya disebabkan sikap semasa jahilnya orang tua mereka. Padahal para ibubapa ini akan ditanya di hadapan Allah Subhanahu wa Ta’ala kelak, kerana merekalah yang bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:

مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِيْنَ، وَاضْرِبُوْهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ، وَفَرِّقُوْا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

“Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mengerjakan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka jika tidak mengerjakan solat ketika umur sepuluh tahun, serta pisahkanlah mereka di tempat tidurnya.” (HR. Ahmad dan Abu Daud, disahihkan oleh Syeikh Al-Albani rahimahullah dalam Irwa`ul Ghalil, no. 247)

Apa yang diperintahkan dalam hadis di atas adalah tanggungjawab kepada para ibubapa yang wajib mereka tunaikan. Dengan itu, jika ibubapa tidak menyuruh anak-anak mereka mengerjakan solat pada umur yang telah disebutkan, bererti mereka telah bermaksiat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam. (*) Mereka telah melakukan keharaman dan meninggalkan kewajibannya yang ditetapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam terhadapnya.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُوْلٌ عَنْ رَعِيًّتِهِ

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Sangat dikesalkan, sebahagian orang tua sibuk dengan perkara dunianya sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Juga tidak meluangkan waktu mereka untuk anak-anak mereka. Seluruh waktu mereka terbuang untuk perkara-perkara dunia. Keburukan yang besar ini banyak dijumpai di negeri muslimin, yang menjadi sebab buruknya tarbiyah (didikan) anak-anak mereka. Jadilah anak-anak tersebut tidak baik agama dan dunianya. La haula wala quwwata illa billahil ‘azhim. (Tiada daya dan upaya kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Agung).” (Fatawa Nurun ‘Alad Darb, Fadhilatusy Syeikh Soleh bin Fauzan, halaman 115-116)

(*) Tidak patuh dan taat kepada perintah baginda Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sementara Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memerintahkan sebagaimana dalam firman-Nya:

وَمَا ءَاتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا“

"Apa yang didatangkan oleh Rasul kepada kamu maka ambillah dan apa yang dilarangnya maka berhentilah (tinggalkanlah).” (Al-Hasyr: 7)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri bersabda:

ماَ نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ وَمَا أَمَرْتُكُمْ بِهِ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

"Apa yang aku larang kamu darinya, tinggalkanlah. Dan apa yang aku perintahkan kepada kamu maka kerjakanlah menurut kemampuan kamu.” (HR. Bukhari dan Muslim) – penterjemah.

Sumber Asal: http://asysyariah.com/
Disunting oleh: Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...