Saturday, December 28, 2013

BASAHI LIDAH DENGAN ZIKRULLAH

Dalam bahasa arab lidah disebut sebagai lisan (لسن). Dengan lisan atau lidah seseorang dapat berkata-kata. Tanpanya seseorang akan menjadi bisu dan tidak mampu difahami kata-katanya. Lidah memiliki peranan yang penting dalam kehidupan seseorang. Dengan lidah seseorang boleh menjadi mulia. Dengan lidah seseorang boleh menjadi hina. Dengan lidah seseorang boleh jatuh dan bangun atau menjatuhkan dan membangunkan orang lain. Amat malang sekali apabila lidah disalahgunakan kepada perkara yang tidak membawa faedah terhadap dirinya. 

Ibnul Qayyim Al-Jauziyah rahimahullah berkata: “Hampir-hampir lisan tidak mampu untuk diam. Lisan tidak terlepas dua perkara, (iaitu) lisan yang selalu berzikir dan lisan yang berkata sia-sia. Dia pasti akan jatuh pada salah satu dari dua perkara di atas. Sepertimana diri (jiwa), apabila tidak disibukkan dengan kebenaran pasti akan disibukkan dengan kebatilan. Sepertimana hati, jika tidak ditenangkan dengan cinta kepada Allah Ta’ala, nescaya ia akan tenang dengan cinta kepada makhluk, dan itu pasti. Begitu jugalah dengan lisan, jika tidak disibukkan dengan zikrullah pasti sibuk dengan perkara yang sia-sia. Itu pasti engkau alami. Pilihlah bagi dirimu salah satu dari dua pilihan di atas, tempatkanlah pada salah satu dari dua tempat tersebut.” (Al-Wabil As-Sayyib, halaman 166-167)

Zikrullah berasal dari dua kata iaitu zikir dan Allah. Zikir bermaksud sebut dan ingat. Apabila digandingkan menjadi zikrullah membawa maksud ‘menyebut Allah’ dan ‘mengingati Allah.’ Mengapa perlu berzikir (mengingati dan menyebut) Allah? Firman Allah Ta’ala:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah dengan berzikir kepada Allah itu hati akan menjadi tenang.” (Surah Ar-Ra’d: 28)

Terdapat banyak kelebihan dan keutamaan berzikir kepada Allah Ta’ala. Antaranya sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnul Qayyim Al-Jauziyah rahimahullah bahawa berzikir dapat menghalau syaitan, mendatangkan redha Ar-Rahman (Allah), menghilangkan kesusahan dan kesedihan, mendatangkan kegembiraan dan kebahagiaan, menguatkan hati dan tubuh badan, menerangi wajah dan hati, mendatangkan rezeki dan faedah-faedah agung lainnya. Beliau (Ibnul Qayyim) juga menjelaskan bahawa faedah zikir yang paling agung dan paling bermanfaat adalah dapat menambah keimanan, menguatkan dan mengukuhkannya. (Al-Wabil As-Sayyib, halaman 84)

Antara dalil-dalilnya yang menerangkan akan anjuran, kepentingan dan keutamaan zikrullah ialah:

Firman Allah Ta’ala:

وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“Dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya supaya kamu beruntung.” (Al-Jum’ah: 10)

Dan firman Allah:

وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

“Dan lelaki serta perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Al-Ahzaab: 35)

Dan firman Allah:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka.” (Al-Anfal: 2)

Dan banyak lagi. Manakala di dalam hadis-hadis pula sebagaimana riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a, beliau berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan di salah satu jalan ke kota Mekah, baginda melalui sebuah gunung yang bernama Jumdan. Baginda bersabda:

سيروا، هذا جمدان، سبق المفردون، قيل: وما المفردون يا رسول الله؟ قال: الذاكرون الله كثيرا والذاكرات

“Berjalanlah di gunung Jumdan ini, sungguh kaum mufarridun telah mendahului.” Mereka bertanya: “Siapakah kaum mufarridun itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Lelaki dan wanita yang banyak berzikir mengingati Allah.” 

Diriwayatkan dari Abu Darda’ r.a bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

ألا أنبئكم بخير أعمالكم، وأرضاها عند مليككم، وأرفعها في درجاتكم، وخير لكم من إعطاء الذهب والفضة، ومن أن تلقوا عدوكم فتربصوا أعناقهم، ويضربوا أعناقهم؟ قالوا: وما ذاك يا رسول الله؟ قال: ذكر الله

“Mahukah kamu aku beritahu tentang amalan yang paling baik dan paling diredhai di sisi Tuhan kamu, yang paling meninggikan darjat kamu dan lebih baik bagi kamu daripada kamu daripada bersedekah emas dan perak, lebih baik daripada kamu bertemu musuh-musuh kamu lalu kamu menebas leher-leher mereka atau mereka menebas leher-leher kamu? Mereka berkata: “Apakah itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Zikrullah.” (HR. Ahmad, Ibnu Majah, At-Tirmizi, Al-Hakim dan lain-lain. Al-Hakim berkata: “Sanad hadis ini sahih dan tidak dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim.” Dipersetujui oleh Az-Zahabi)

Abdullah bin Busr menceritakan bahawa seorang lelaki berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syariat Islam sangat banyak untuk aku lakukan. Beritahu aku sebuah amalan yang boleh aku pegang teguh.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda:

لا يزال لسانك رطبا من ذكر الله

“Hendaklah lisanmu sentiasa basah kerana berzikir kepada Allah.” (HR. Ibnu Abi Syaibah, At-Tirmizi dan lain-lain. At-Tirmizi berkata: “Hadis hasan Gharib.”)

Dari Abu Hurairah r.a, dia berkata Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

أنا عند ظن عبدي بي، وأنا معه إذا ذكرني، فإن ذكرني في نفسه، ذكرته في نفسي، وإن ذكرني في ملإ ذكرته في ملإ خير منهم

“Aku dengan sangkaan hambaKu terhadapKu. Akan Aku selalu bersamanya jika dia selalu mengingatiKu. Apabila dia mengingatiKu dan dalam dirinya, nescaya Aku mengingatinya dalam diriKu. Dan jika dia mengingatiku dalam sebuah majlis, nescaya Aku akan mengingatinya dalam majlis yang lebih baik daripada majlis mereka.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Syeikh Ibnu Sa’di rahimahullah berkata: “Di antara faktor penguat iman adalah memperbanyakkan zikrullah pada setiap waktu, memperbanyakkan doa yang merupakan inti ibadah.

Sesungguhnya zikrullah akan menumbuhkan asas keimanan dalam hati, akan menyuburkan dan memakmurkannya. Semakin bertambah tingkatan zikir seorang hamba, semakin kuat juga keimanannya. Sebagaimana juga iman akan mendorongnya untuk banyak berzikir. Barangsiapa yang mencitai Allah pasti akan banyak mengingatinya. Cinta kepada Allah adalah iman, bahkan merupakan roh keimanan.” (At-Taudhih wal Bayan, halaman 32)

Memperbanyakkan berzikir kepada Allah akan memalingkan seseorang dari perkara yang sia-sia seperti mengumpat, memfitnah, mengejek, berdusta dan berkata dengan suatu perkataan yang keji yang semuanya itu boleh menyumbang kepada dosa dan azab. 

Perbanyakkanlah berzikir dengan zikir-zikir atau doa-doa yang diambil dari Al-Quran dan hadis yang sahih. Bahkan membaca Al-Quran itu juga termasuk zikrullah serta menuntut ilmu agama itu sendiri juga termasuk dalam pengertian zikrullah yang juga dikenali sebagai majlis zikir. Wallahua’lam.

Ditulis oleh:
Mohd Safwan bin Mohd Rusydi
Taman Indah Permai, Kota Kinabalu.

2 comments:

wa2n tips said...

Peluang Bisnis Dahsyat Yusuf Mansur. "Orang islam harus KAYA"
dan "Beli Kembali Aset Indonesia" dengan INDONESIA BERJAMAAH
Segera Amankan Posisi Anda, Segera JOIN bersama
Komunitas VSI , bisnis terbaru Ustadz Yusuf Mansur
Dengan Produk V-pay ( Virtual Payment ) Anda akan
dimudahkan dalam hal urusan pembayaran listrik,
telpon, pulsa, PDAM, TV Berbayar, Internet, cukup dari genggaman anda saja . Transaksi dapat dilakukan
melalui Website, SMS, Android, BlackBerry, iPhone dan YM.
Penasaran Dengan Bisnis Ustd. Yusuf Mansur ini Kunjungi Website: KLIK DISINI

wa2n tips said...

Peluang Bisnis Dahsyat Yusuf Mansur. "Orang islam harus KAYA"
dan "Beli Kembali Aset Indonesia" dengan INDONESIA BERJAMAAH
Segera Amankan Posisi Anda, Segera JOIN bersama
Komunitas VSI , bisnis terbaru Ustadz Yusuf Mansur
Dengan Produk V-pay ( Virtual Payment ) Anda akan
dimudahkan dalam hal urusan pembayaran listrik,
telpon, pulsa, PDAM, TV Berbayar, Internet, cukup dari genggaman anda saja . Transaksi dapat dilakukan
melalui Website, SMS, Android, BlackBerry, iPhone dan YM.
Penasaran Dengan Bisnis Ustd. Yusuf Mansur ini Kunjungi Website: KLIK DISINI

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails