Wednesday, December 7, 2011

Bolehkah Melakukan Amalan Yang Tidak Afdhal Dalam Keadaan Tertentu Kerana Maslahat?

Dipetik daripada Majalah Asy Syariah, Samahatusy Syeikh Al-Imam Abdul Aziz bin Baz rahimahullah berkata: “Riwayat yang menyebutkan basmalah (yakni membaca bismillahirrahmanirrahim - edt) dibaca dengan jahar (secara keras - edt) dibawa kepada (pemahaman) bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam juga pernah menjaharkan basmalah untuk mengajari orang yang solat di belakang baginda (para makmum) apabila baginda membacanya (dalam solat sebelum membaca Alhamdulillah…). Dengan pemahaman seperti ini, terkumpullah hadis-hadis yang ada. Terdapat hadis-hadis sahih yang menguatkan apa yang ditunjukkan oleh hadis Anas radhiallahu 'anhu iaitu disyariatkannya membaca basmalah secara sirr (secara perlahan - edt).” (Ta’liq terhadap Fathul Bari, 2/296)

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata: “Terkadang disyariatkan membaca basmalah dengan jahar kerana sebuah maslahat yang besar, seperti pengajaran imam terhadap makmum, atau menjaharkannya dengan ringan untuk melunakkan hati dan mempersatukan kalimah kaum muslimin yang dibimbangi mereka akan lari sekiranya diamalkan sesuatu yang lebih afdhal. Hal ini sebagaimana Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menahan keinginan untuk membangunkan kembali Baitullah (yakni Ka'bah - edt) sesuai dengan fondasi Ibrahim 'alaihissalam kerana kaum Quraisy di Makkah pada waktu itu baru sahaja meninggalkan masa jahiliah dan masuk Islam. Baginda shallallahu 'alaihi wasallam membimbangi mereka dan melihat maslahat yang lebih besar berkenaan dengan penyatuan dan keutuhan hati-hati kaum muslimin. Baginda shallallahu 'alaihi wasallam pun lebih memilih hal tersebut daripada membina Baitullah di atas fondasi Ibrahim 'alaihissalam.

Pernah juga Ibnu Mas’ud radhiallahu 'anhuma solat dengan sempurna 4 rakaat di belakang Khalifah Utsman bin Affan radhiallahu 'anhu dalam keadaan mereka sedang musafir. Orang-orang pun mengingkari Ibnu Mas’ud yang mengikuti perbuatan Utsman radhiallahu 'anhu, kerana sepatutnya beliau solat dua rakaat dengan cara qashar. Akan tetapi, beliau radhiallahu 'anhu menjawab dan menyatakan: “Perselisihan itu buruk.”

Oleh kerana itu, para imam, seperti Al-Imam Ahmad dan lainnya, membolehkan berpindah dari yang afdhal kepada yang tidak afdhal, seperti menjaharkan basmalah dalam suatu keadaan, menyambung solat witir, atau yang lainnya, untuk menjaga penyatuan kaum mukminin, mengajari mereka As-Sunnah, dan yang semisalnya.” (Majmu’ Fatawa, 22/437—438) (Dinukil dari: http://asysyariah.com)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails