Monday, September 5, 2011

Fatwa Berkenaan Mengirimkan Pahala

Soalan 1:

Pertanyaan dari orang Sudan yang tinggal di Kuwait, dia mengatakan: “Apa hukumnya membaca Al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada si mati, juga menyembelih haiwan untuknya, demikian pula memberikan wang untuk keluarga si mati?”

Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah menjawab:

Mendekatkan diri kepada si mati dengan sembelihan, wang, nazar, dan ibadah-ibadah lainnya, seperti meminta kesembuhan darinya, pertolongan, atau bantuan, ini merupakan syirik akbar (besar). Tidak boleh bagi seorang pun untuk melakukannya, kerana syirik adalah dosa dan kejahatan yang paling besar. Berdasarkan firman Allah Ta’ala:

إِنَّ اللَّهَ لا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan dosa selain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya).” (Surah An-Nisa: 116)

إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ

Maksudnya: “Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.” (Surah Al-Maidah: 72)

وَلَوْ أَشْرَكُوا لَحَبِطَ عَنْهُمْ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan kalau mereka sekutukan (Allah dengan sesuatu yang lain) nescaya gugurlah dari mereka, apa yang mereka telah lakukan (dari amal-amal yang baik). (Surah Al-An'am: 88)

Dan banyak ayat yang semakna dengannya. Maka yang wajib dilakukan adalah mengikhlaskan/memurnikan ibadah hanya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala satu-satunya, baik ianya berupa sembelihan, nazar, doa, solat, puasa, atau ibadah-ibadah selainnya. Di antara kesyirikan juga adalah mendekatkan diri kepada para penghuni kuburan dengan nazar atau makanan, berdasarkan ayat-ayat yang lalu. Juga berdasarkan firman Allah Ta’ala:

قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. لا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan dengan yang demikian sahaja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya).” (Surah Al-An’am: 162-163)

Adapun menghadiahkan Al-Fatihah atau selainnya dari Al-Quran kepada orang yang telah mati, hal itu tidak ada dalilnya (landasan hukumnya dari Al-Quran atau Hadis). Maka yang wajib dilakukan adalah meninggalkan hal tersebut. Kerana ianya tidak pernah dinukilkan dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam atau para sahabatnya sesuatu yang menunjukkan bolehnya hal tersebut. Yang disyariatkan adalah mendoakan untuk mayat dan menyedekahkan untuk mereka dengan cara berbuat baik kepada para fakir miskin. Dengan itu, seorang hamba mendekatkan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan memohon kepada-Nya agar pahalanya dijadikan untuk ayah atau ibunya, atau orang yang mati atau yang masih hidup selain keduanya.

Hal ini berdasarkan sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam:

إذا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

“Apabila meninggalnya manusia maka terputuslah amalnya kecuali dari tiga: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim, no: 3084 dan lafaznya riwayat At-Tirmizi, no: 1297, dan An-Nasai, no: 3591)

Telah sabit (sahih) bahawa seseorang berkata:

يَا رَسُوْلَ اللهِ، إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَلَمْ ْتُوْصِ وَأَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ لَتَصَدَّقَتْ، أَفَلَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ.

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku meninggal dan belum sempat berwasiat, dan aku kira kalau dia sempat mengatakannya, nescaya dia akan bersedekah, adakah dia dapat pahala jika aku bersedekah atas namanya?” Baginda pun menjawab: “Ya.” (Riwayat At-Tirmizi, no: 605, dan An-Nasai, no: 3594) Disepakati kesahihannya.

Demikian juga melaksanakan haji untuk si mati serta mengumrahkannya juga membayarkan hutangnya. Kesemuanya itu dapat memberi manfaat bagi si mati sesuai dengan keterangan yang datang dalam dalil-dalil syariat.

Adapun jika yang dimaksudkan oleh yang bertanya dengan pertanyaannya adalah untuk berbuat baik kepada keluarga si mati serta bersedekah dengan wang dan sembelihan, maka itu boleh (harus) apabila mereka itu adalah orang-orang fakir (miskin). Yang utama adalah tetangga dan kerabat membuatkan makanan di rumah mereka masing-masing lalu menghadiahkannya kepada keluarga si mati. Kerana telah sahih dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa ketika sampai kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berita tentang kematian Ja’far bin Abi Tolib radhiallahu ‘anhu dalam peperangan Mu’tah, baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan kerabatnya untuk membuatkan makanan untuk keluarga Ja’far dan baginda mengatakan:

لأنهم قد أتاهم ما يشغلهم

“Kerana telah datang kepada mereka perkara yang menyibukkan mereka (yakni urusan pengkebumian jenazah – edt).” (Riwayat At-Tirmizi, no:919, dan Abu Daud, no: 2725, dan Ibnu Majah, no: 1599, dan Ahmad dalam Musnad, no: 1660)

Adapun bila keluarga si mati yang membuat makanan untuk orang-orang (masyarakat) kerana kematian (seperti kenduri arwah – edt) maka itu tidak boleh. Hal itu termasuk amalan jahiliah, baik pada hari kematian, hari keempat atau kesepuluh atau setelah genap setahun. Semua itu tidak boleh. Ini berdasarkan riwayat yang sahih dari sahabat Jarir bin Abdillah Al-Bajali radhiallahu ‘anha, salah seorang sahabat Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, bahawa baginda berkata:

كُنَّا نَعُدُّ الْاِجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنِيْعَهُ الطَّعَامَ بَعْدَ دَفْنِهِ مِنَ النِّيَاحَةِ

“Kami menganggap bahawa berkumpul-kumpul (di rumah) keluarga si mati dan membuat makanan setelah ia kuburkan adalah termasuk niyahah (ratapan).” (Riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, no: 6611)

Adapun jika terdapat tetamu yang mendatangi keluarga si mati pada hari-hari berkabung (waktu takziyah) maka tidak mengapa keluarga si mati membuat makanan untuk mereka sebagai hidangan untuk tetamu. Sebagaimana tidak mengapa bagi keluarga si mati untuk mengundang siapa yang mereka kehendaki dari jiran atau kerabat untuk makan bersama mereka dari makanan yang dihadiahkan kepada mereka.

Dan Allah jualah yang memberi taufik (hidayah).

(Majmu’ Fatawa Al-‘Allamah Abdul ‘Aziz bin Baz Rahimahullah (Wafat 1420 H), Maktabah Syamilah, 9/324-326)

Soalan 2:

Bolehkah bagi saya untuk mengkhatamkan Al-Quran dan saya hadiahkan untuk ibu bapa saya, untuk pengetahuan bahawasanya kedua-duanya buta huruf, tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis. Adakah boleh bagi saya mengkhatamkan Al-Quran untuk dihadiahkan kepada orang yang tahu membaca dan tahu menulis tetapi saya (memang) bermaksud menghadiahkannya kepadanya? Juga apakah boleh bagi saya untuk mengkhatamkan Al-Quran untuk saya hadiahkan kepada lebih dari satu orang?

Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah menjawab:

Tidak terdapat dalam Al-Quran yang mulia ataupun dalam hadis yang suci dari Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, tidak pula dari para sahabatnya yang mulia, sesuatu yang menunjukkan disyariatkan menghadiahkan bacaan Al-Quranul Karim untuk kedua orang tua atau untuk yang lain. Allah Subhanahu wa Ta’ala mensyariatkan membaca Al-Quran untuk diambil manfaat darinya, diambil faedah darinya serta untuk dipahami maknanya lalu diamalkan (isi kandungannya – edt). Allah Ta’ala berfirman:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Surah Shaad: 29)

إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus.” (Surah Al-Israa’: 9)

قُلْ هُوَ لِلَّذِينَ آمَنُوا هُدًى وَشِفَاءٌ

Maksudnya: “Katakanlah: “Al-Quran itu adalah petunjuk dan penawar bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Fushshilat: 44)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِيْ شَفِيْعًا لِأَصْحَابِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

“Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya (amalan membaca) Al-Quran itu nanti akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat bagi para pembacanya.” (Riwayat Muslim, no: 804)

Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda:

إنه يؤتى بالقرآن يوم القيامة وأهله الذين كانوا يعملون به تقدمه سورة البقرة وآل عمران كأنهما غمامتان أو غيايتان أو فرقان من طير صواف تحاجان عن أصحابهما

“Bahawa nanti akan didatangkan (amalan membaca) Al-Quran pada hari kiamat dan para ahli Al-Quran yang mengamalkannya, akan datang kepadanya surah Al-Baqarah, Ali Imran, keduanya akan membela para pembacanya.. (dan makna yang semakna dengannya – edt)” (Riwayat Muslim, no.805)

Jadi tujuan diturunkannya Al-Quran adalah untuk diamalkan, difahami, dan dipakai untuk beribadah dengan membacanya, serta memperbanyakkan membacanya. Bukan untuk menghadiahkannya kepada orang-orang yang telah wafat atau yang lain. Aku tidak mengetahui ada dasar yang dapat dijadikan sandaran dalam hal menghadiahkan bacaan Al-Quran untuk kedua orang tua atau yang selain mereka. Padahal Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

“Barangsiapa yang mengamalkan suatu amalan yang bukan atas dasar ajaran kami maka itu tertolak.” (Riwayat Bukhari, 4/355 dalam Al-Fath, dan Muslim, no: 1718)

Sebahagian ulama membolehkan hal itu dan mengatakan: “Tidak mengapa menghadiahkan pahala Al-Quran dan amalan soleh yang lain.” Mereka mengkiaskannya dengan sedekah dan doa untuk orang yang telah mati. Akan tetapi yang benar adalah pendapat yang pertama (yakni tidak boleh), berdasarkan hadis yang telah disebutkan dan yang semakna dengannya. Seandainya menghadiahkan bacaan itu sesuatu yang disyariatkan, tentu akan dilakukan oleh para salafus soleh (pendahulu kita yang baik). Juga, dalam hal ibadah tidak boleh digunakan qiyas (kias/analogi), kerana ibadah itu berhenti pada tuntunan Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam. Tidak boleh ditetapkan kecuali dengan nas dari Kalamullah atau hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, berdasarkan hadis yang lalu dan yang semakna dengannya.

Adapun menyedekahkan untuk orang yang sudah mati dan yang lain, demikian pula mendoakan mereka, menghajikan orang lain oleh orang yang telah mengerjakan haji untuk dirinya sendiri, juga mengumrahkan oleh yang sudah mengerjakan umrah untuk dirinya sendiri, juga membayarkan hutang puasa bagi mereka yang telah wafat dan mempunyai hutang, maka semua ibadah ini (harus/boleh), telah sahih hadis-hadis dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Dan Allah jualah yang memberi taufik (hidayah).

(Majmu’ Fatawa Al-‘Allamah Abdul ‘Aziz bin Baz Rahimahullah (Wafat 1420 H), Maktabah Syamilah,13/261-263)

Sunday, September 4, 2011

HUKUM MEMAKAI TANGKAL ATAU AZIMAT DAN YANG DIAMBIL DARIPADA AL-QURAN

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Mas’ud radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam mengisyaratkan tentang azimat dan hukumnya. Kata Ibnu Mas’ud: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّماَئِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

“Sesungguhnya jampi-jampi, azimat-azimat, dan guna-guna adalah syirik.” (HR. Imam Ahmad di dalam Musnad 1/381, Abu Daud di dalam Sunan-nya 7/630, Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak 4/217, 418, At-Tabrani di dalam Al-Kabir 10503, dan Al-Baihaqi di dalam Sunan Al-Kubra 9/350)

Syeikh Al-Albani rahimahullah menjelaskan: “Memang asal azimat itu adalah permata yang dirangkai yang digantungkan pada leher anak agar terpelihara dari gangguan mata-mata jahat. Kemudian mereka memperluaskan makna azimat tersebut sehingga mereka menamakan azimat kepada segala bentuk perlindungan. Contohnya: sebahagian mereka menggantungkan kasut kuda di pintu-pintu rumah atau di tempat yang jelas kelihatan, menggantungkan selipar di bahagian depan kereta atau di bahagian belakangnya, atau permata yang berwarna biru di bahagian depan cermin kereta bahagian dalam berdekatan dengan pemandu dengan tujuan untuk menolak bala.” (Silsilah Al-Ahadis As-Sahihah, 1/650)


Apakah hukum memakai azimat?

Pertama: Akan menyebabkan terjatuh kepada SYIRIK BESAR apabila disertai keyakinan bahawa azimat itu sendiri yang memberikan pengaruh selain Allah Subhanahu wa Ta'ala, yang dapat menolak mudarat dan mendatangkan manfaat, serta membentengi setiap orang yang memakainya. Dan pelakunya telah keluar dari Islam, halal darahnya untuk ditumpahkan dan hartanya untuk dirampas, menyebabkan kekal dirinya di dalam neraka apabila dia mati dan belum sempat bertaubat, serta menyebabkan terhapus (hilang) seluruh amalan yang dilakukan di dalam Islam.

Kedua: Akan menyebabkan terjatuh dalam perbuatan SYIRIK KECIL apabila dia meyakini bahawa azimat itu hanya sebagai sebab semata, manakala yang mendatangkan manfaat dan menolak segala bentuk malapetaka yang menimpanya adalah Allah Subhanahu wa Ta'ala. Menjadikan sesuatu sebab yang tidak pernah dijadikan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagai sebab adalah merupakan syirik kecil. (Lihat Al-Qaulul Mufid 1/204, Al-Qaulul Sadid hal. 38, Fatawa Syeikh Ibnu Baz 2/384)

Dalil-dalilnya adalah dalam hadis marfu’ dari Abdullah bin ‘Ukaim Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

من تعلق شيئا وكل إليه 

“Barang siapa yang menggantungkan sesuatu (dengan anggapan bahawa barang tersebut bermanfaat atau dapat melindungi dirinya), maka Allah akan menjadikan orang tersebut selalu bergantung kepadanya.” (HR. Ahmad dan At Tirmizi)

Imran bin Husain radhiallahu’anhu menuturkan bahawa Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam melihat seorang lelaki memakai gelang, kemudian baginda pun bertanya:

ما هذه ؟، قال : من الواهنة، فقال : انزعها فإنها لا تزيدك إلا وهنا، فإنك لو مت وهي عليك ما أفلحت أبدا

“Apakah itu? Lelaki itu menjawab: “Gelang penangkal penyakit”, lalu Nabi bersabda: “Lepaskan gelang itu, kerana sesungguhnya ia tidak akan menambah kecuali kelemahan pada dirimu, dan jika kamu mati sedangkan gelang ini masih ada pada tubuhmu maka kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (HR. Imam Ahmad)

Diriwayatkan dari Uqbah bin Amir, dalam hadis yang marfu’, Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam bersabda :

من تعلق تميمة فلا أتم الله له، ومن تعلق ودعة فلا ودع الله له، وفي رواية : من تعلق تميمة فقد أشرك

“Barang siapa yang menggantungkan Tamimah* maka Allah tidak akan mengkabulkan keinginannya, dan barang siapa yang menggantungkan Wada’ah* maka Allah tidak akan memberikan ketenangan kepadanya.” Dan di dalam riwayat yang lain Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang menggantungkan tamimah maka dia telah berbuat kesyirikan.” (HR. Imam Ahmad)

*Tamimah adalah sesuatu yang dikalungkan di leher anak-anak sebagai penangkal atau pengusir penyakit, pengaruh jahat yang disebabkan oleh rasa dengki seseorang, dan lain sebagainya.

*Wada’ah pula adalah sesuatu yang diambil dari laut, menyerupai rumah kerang, menurut anggapan orang orang jahiliah dapat digunakan sebagai penangkal penyakit. Termasuk dalam pengertian ini adalah azimat. (Lihat Kitabut Tauhid karya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab rahimahullah, Fathul Majid 1/650)

Apakah hukum sekiranya azimat itu diambil daripada ayat-ayat Al-Quran?

Berkenaan masalah ini, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama salaf:

1. Sebahagian mengatakan boleh (harus). Dan mereka memaknakan hadis yang menjelaskan keharaman azimat itu dengan makna azimat yang mengandung kesyirikan. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian adalah Abdullah bin ‘Amr bin Al-’Ash dan diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha, akan tetapi riwayat dari kedua sahabat ini lemah. Dan ini adalah ucapan Abu Ja’far Al-Baqir, Ahmad bin Hanbal dalam satu riwayat.

2. Sebahagian pula mengatakan haram. Pendapat ini dipegang antaranya Ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Abbas, dan zahir ucapan Hudzaifah, ‘Uqbah bin ‘Amir, dan Ibnu ‘Akim dan demikian juga ucapan sejumlah tabi’in di antara mereka murid-murid Ibnu Mas’ud, dan Ahmad di dalam sebuah riwayat yang dipilih oleh majoriti murid beliau dan yang diperkuatkan oleh ulama mutaakhirin (kebelakangan ini). Mereka berdalil dengan keumuman hadis Ibnu Mas’ud: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya jampi-jampi, azimat-azimat, dan guna-guna termasuk dari kesyirikan.” (HR. Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan Al-Hakim)

Syeikh Soleh Fauzan hafizahullah mentarjih (menguatkan) dari kedua pendapat ini beliau mengatakan: Yang benar (dari kedua) pendapat ini adalah pendapat yang mengatakan HARAM dengan beberapa alasan:

Pertama: Keumuman larangan dan tidak ada dalil-dalil yang mengkhususkannya,
Kedua: Menutup jalan-jalan yang akan dapat menjerumuskan kepada (perbuatan) menggantungkan azimat selain Al-Quran atau nama-nama Allah, dan
Ketiga: Akan terjatuh pada penghinaan terhadap Al-Quran dan nama-nama Allah tersebut kerana akan dibawa ke tempat najis atau dipakai untuk mencuri, merompak, dan berkelahi.

Dan pendapat kedua ini pula yang dikuatkan oleh ulama masa kini seperti Syeikh Sulaiman bin Abdullah bin Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dalam kitabnya Taisir Al-’Aziz Al-Hamid, Syeikh Abdurrahman bin Hasan Alu Syeikh dalam kitabnya Fathul Majid, Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, Syeikh Muhammad bin Soleh Al-’Utsaimin, dan Syeikh Muqbil bin Hadi rahimahumullah.
 
Wallahua'lam
Abu Soleh Mohd Safwan bin Mohd Rusydi

KITAB-KITAB SALAF DALAM MASALAH AKIDAH


Syeikh Rabi’ bin Hadi Al-Madkhali
Wahai saudaraku yang mulia;
Sekarang kita sampai kepada pembahasan yang sesuai dengan judul tulisan ini. Kita telah mengetahui perbezaan antara manhaj salaf dengan khalaf dan mengetahui pula kedudukan dan pentingnya akidah salaf yang garis besarnya adalah berpegang teguh dengan sunnah dan menjauhi kebid’ahan.
Di dalam bab ini, saya akan menyebutkan dua Imam yang mulia.
Imam Az-Zuhri rahimahullah berkata: “Ulama-ulama kita berkata:
“Berpegang teguh dengan sunnah adalah keselamatan.”
Imam Malik rahimahullah berkata:
“As-Sunnah adalah seperti perahunya Nabi Nuh. Barangsiapa yang menaikinya, dia akan selamat dan barangsiapa yang tidak mahu menaikinya, maka dia akan tenggelam.” [Lihat Fatawa Syaikhul Islam (4/57) dan kitab Al I’tisham (1/224-225)]
Seharusnya bagi (seorang) penuntut ilmu bersemangat untuk menyelamatkan akidah dan manhajnya.
Caranya dengan cara membiasakan diri dengan membaca kitab-kitab sunnah dan kitab yang berisi akidah salafus soleh serta bersungguh-sungguh dalam menelaahnya. Kemudian mempraktikkan apa yang telah diketahuinya dengan penuh keadilan dalam semua urusan. Tidak tafrit (meremehkan) dan tidak pula ifrat (melampaui batas).
Hendaklah para penuntut ilmu menghindari sikap keras yang melampaui batas. Selalu bersama para ulama yang kukuh di atas sunnah dan mencontohi mereka untuk menghadapi (permasalahan) yang berada di sekitar kita.
Menjauhkan diri dari sikap menentang dan berpaling dari manhaj salaf serta kitab-kitabnya atau memburuk-burukkan para ulama yang kukuh (di atas ilmu) atau menganggap mereka jahil dan lalai.
Jika semuanya ini telah kamu ketahui, maka ketahuilah wahai saudaraku, bahawa kitab-kitab yang menjelaskan tentang akidah salaf ada tiga bentuk, iaitu:
Pertama       : Kitab-kitab Hadis.
Kedua          : Kitab-kitab Tafsir.
Ketiga          : Kitab-kitab khusus yang berbicara dalam masalah ijtihad.
Dan saya akan menjelaskan dari tiap-tiap bahagian jenisnya, jika berkemungkinan.
A.   KITAB-KITAB HADIS
Kebanyakan kitab-kitab hadis sangat memperhatikan hadis-hadis yang berkaitan dengan masalah i’tikad (keyakinan) dan mencakup juga di dalamnya bantahan terhadap penyelisihnya.
Diantara kitab-kitab hadis adalah:
  1. Sahih Al-Bukhari (Kitab hadis yang paling utama).
Imam Al-Bukhari memasukkan dalam kitab Sahih beliau tiga kitab dalam masalah i’tikad dan bantahan kepada kelompok Murji’ah (Murji’ah adalah kelompok sesat yang memiliki keyakinan bahawa amal perbuatan bukan termasuk bahagian dari Iman). Kitab Tauhid milik beliau rahimahullah mencakup di dalamnya bantahan terhadap kelompok Jahmiyah (Jahmiyah adalah kelompok sesat yang menolak nama dan sifat-sifat Allah).
Sedangkan kitab Al-I’tisham bis-Sunnah mencakup bantahan terhadap para pengagung akal dan orang-orang yang mengingkari hadis Ahad sebagai hujjah (di dalam agama, khususnya dalam masalah akidah – edt).
  1. Sahih Muslim.
Imam Muslim memasukkan di dalam kitab Al-Iman (Permasalahan tentang akidah) dan mencakup bantahan terhadap Qadariah (Pemahaman Qadariah dinisbahkan kepada Mu’tazilah, disebabkan mereka mengingkari takdir. Qadariah ada 2 jenis iaitu Qadariah pertama dan Qadariah Mu’tazilah).
  1. Sunan Abu Daud.
Abu Daud memasukkan dalam Sunan-nya, kitab As-Sunnah yang di dalamnya membahas bantahan terhadap Qadariah, Murji’ah, Jahmiah Al-Mu’attilah (Yakni Jahmiah yang menolak sifat-sifat Allah – edt).
Beliau bahkan meletakkan judul dan nama-nama kelompok tersebut seperti ucapan beliau dalam bab: Ar-Raddu ‘alal-Jahmiyah.
4.   Sunan Ibnu Majah.
Al-Imam Abu ‘Abdillah Muhammad Yazid bin Majah meletakkan di dalam mukadimah kitab Sunan milik beliau tentang wajibnya mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam dengan jumlah halaman lebih kurang sebanyak 100 halaman dengan jumlah hadis sebanyak 266 buah.
Beliau membuat banyak bab (di dalamnya), diantaranya: bab: Fima Unkiratil Jahmiyah. Beliau menyebutkan di dalam bab ini pengingkaran Jahmiah terhadap ru’yatullah (Allah akan dilihat pada hari kiamat), Allah berbicara dan Allah beristiwa’ di atas ‘Asary-Nya.
Beliau membawakan hadis-hadis yang merupakan bantahan terhadap mereka. Beliau menjelaskan juga tentang Khawarij dan selain mereka dari kelompok-kelompok bid’ah. Bahkan beliau menulis satu bab (yang membahas) kewajiban untuk menjauhi ra’yu (pendapat-pendapat yang tidak memiliki dasar atau dalil).
B.   KITAB-KITAB TAFSIR
Yang dimaksud di sini adalah kitab-kitab yang ma’tsur (memiliki sanad) dan tempat-tempat (permasalahan ini) pada ayat-ayat sifat, seperti firman Allah subhanahu wa ta’ala:
الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى
“Ar-Rahman (Allah) beristiwa di atas ‘Arsy.” (Toha: 5)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ
“Kemudian Dia (Allah) beristiwa di atas ‘Arsy.” (Al-A’raf: 54; Yunus: 3; Ar-Ra’d: 2; Al-Furqan: 59; As-Sajdah: 4; Al-Hadiid: 4)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ
“Kepada apa yang Aku telah menciptakannya dengan kedua tangan-Ku. (Sod: 75)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ
“Bahkan kedua tangan-Nya terhampar (terbuka).” (Al-Maidah: 64)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
تَجْرِي بِأَعْيُنِنَا
“Yang berlayar dengan mata-mata Kami.” (Al-Qamar: 14)
Firman Allah subhanahu wa ta’ala:
وَجَاءَ رَبُّكَ وَالْمَلَكُ صَفًّا صَفًّا
“Dan Tuhan-mu telah datang dan malaikat bersaf-saf (berbaris-baris).” (Al-Fajr: 22)
Dan selainnya dari ayat-ayat sifat (yakni ayat yang menyebutkan sifat-sifat Allah subhanahu wa ta’ala).
Termasuk dari sederetan tafsir salaf, yang sudah dicetak dan yang belum dicetak, dengan keistimewaannya iaitu bersanad ertinya seorang musafir (ulama ahli tafsir) menyebutkan sand-sanad hadis sampai akhir.
Kitab-kitab tafsir tersebut antara lain:
  1. Tafsir Ibnu abi Hatim.
  2. Tafsir Abd. Bin Humaid.
  3. Tafsir Ibnu Mardawaih.
  4. Tafsir Al-Baghawi.
  5. Tafsir At-Tobari.
  6. Tafsir Ad-Dural Mantsur, karya: Imam As-Suyuti.
  7. Tafsir Ibnu Katsir.
C.   KITAB-KITAB DALAM MASALAH AKIDAH
Wahai saudara-saudara yang kucintai;
Jika disebutkan akidah salaf Ahlus Sunnah dan tokohnya dalam menjelaskan akidah tersebut serta gigih membelanya, maka Imam Ahmad bin Hanballah sebagai imam mereka dan sekaligus sebagai pemimpinnya. Di tangan beliaulah akidah salaf mencuat ke permukaan dan berbeza dengan para penyelisihnya.
Beliau telah tampil menghadang Jahmiah dan Mu’tazilah sebagaimana Abu Bakar tampil menghadang orang-orang murtad. Kerana itu beliau adalah sebagai lambang sunnah dan digelari Imam Rabbani dan As-Siddiq yang kedua. [Lihat kitab Manaqib Imam Ahmad karya Ibnul jauzi hal. 110 dan 116]
Tidak asing lagi, bahawa beliau rahimahullah telah mendapat ujian demi ujian yang tidak akan dapat dipikul oleh selain beliau dan tidak akan bersabar untuk menerima ujian seperti yang beliau alami dalam mempertahankan keyakinan.
Imam Al-Muhaddis Ali bin Al-Madini –Guru Imam Al-Bukhari- berkata: “Sesungguhnya Allah telah menjayakan Islam ini dengan dua tokoh dan tidak ada yang ketiganya, iaitu: Abu Bakar As-Siddiq pada hari-hari pemurtadan dan Imam Ahmad pada hari-hari fitnah, iaitu fitnah perkataan Al-Quran adalah mahluk dan pengingkaran terhadap ayat-ayat Allah.”
Al-Imam Ishaq bin Rahawaih mengatakan tentang beliau: “Kalau bukan kerana Imam Ahmad dan pengorbanan beliau, niscaya Islam ini akan hilang.”
Bahkan cinta dan bencinya (seseorang) kepada beliau rahimahullah adalah sebagai kayu ukur untuk mengetahui (adakah dia) Ahlus Sunnah atau Ahlul Bid’ah.
Imam Abi Hatim berkata: ‘Apabila kamu melihat seseorang mencintai Ahmad bin hanbal, ketahuilah bahawa dia adalah Ahlus Sunnah.”
Abu Ja’far Al-Fallas berkata: “Apabila kamu melihat seseorang mencerca Ahmad bin Hanbal, maka sesungguhnya dia adalah seorang Mubtadi’ (pelaku bid’ah) yang sesat.” [Lihat Muqaddimah Al-Ma’rifah li Kitab Al-Jarh wat-Ta’dil, hal. 308-309]
Imam Ahmad sangat membenci berdalam-dalam tentang masalah agama, banyak berbicara tentang sifat-sifat Allah (sebagaimana Ahlul Bid’ah) dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Ketika beliau melihat marabahaya yang akan menimpa agama yang didalangi oleh Mu’tazilah, maka beliau dalam keadaan terpaksa harus terjun ke medan pertarungan. Beliau mengorbankan segalanya demi terjaganya akidah umat ini.
Karya-karya Imam Ahmad diantaranya:
  1. Kitab As-Sunnah.
  2. Kitab Ar-Raddu ‘alal-Jahmiyah.
Beliau memberi kesempatan kepada para ulama di dalam menjelaskan akidah yang benar dan membantah para penyelisih dengan kemampuan yang jelas. Diantara sederetan para ulama yang memiliki kedudukan besar dalam membela akidah salaf dan memegang kitab antara lain:
  1. Al-Imam Abdullah bin Al-Mubarak (wafat pada tahun 181 H).
  2. Yahya bin Said Al-Qotton, seorang ulama ahli hadis, ahli hujjah dan kritis (wafat pada tahun 198 H).
  3. Ibnu Abi syaibah, Abu Bakar Abdullah bin Muhammad bin Ibrahim Al-Abbasi. Beliau telah menulis kitab As-Sunnah dan kitab Al-Iman (wafat pada tahun 225 H).
  4. Yahya bin Bukhair bin Abdurrahman Al-Hanzhali Al-Hafiz. (wafat pada tahun 226 H).
  5. Abu Abdillah Nu’aim bin Hammad. Beliau dan Murid-muridnya meninggal di penjara kerana dipukul dengan teramat kuat (wafat pada tahun 228 H).
  6. Abdul Aziz Al-Kinani Al-Makki, pengarang kitab Al-Haidah.
  7. Abdullah bin Muhammad Al-Ju’fi, salah seorang guru Imam Al-Bukhari (wafat pada tahun 229 H). Beliau menulis kitab yang berjudul Ar-Raddu ‘alal Jahmiyah.
  8. Imam Ishaq bin Ibrahim yang terkenal dengan nama “Ibnu Rahawaih” (wafat pada tahun 238 H).
  9. Imam Muhammad bin Isma’il bin Al-Bukhari. Disamping menulis kitab Al-Jami’, beliau juga menulis kitab Khalqu Af’alil ‘Ibad dan Ar-Raddu ‘alal Jahmiyah.
  10. Imam Abu Bakar Ahmad bin Muhammad bin Hani’ Al-Atsram, sahabat Imam Ahmad (wafat pada tahun 273 H). Beliau menulis kitab As-Sunnah.
  11. Imam Abdullah bin Imam Ahmad. Beliau menulis kitab As-Sunnah dan telah dicetak dengan tahqiq oleh DR. Muhammad Said Al-Qottoni.
  12. Imam Utsman bin Said Ad-Darimi (wafat pada tahun 280 H). Beliau memiliki kitab yang berjudul Ar-Raddu ‘alal Jahmiyah dan Ar- Raddu ‘alal Marisi.
  13. Imam Abu Bakar Ahmad bin Ali bin Said Al-Marwazi (wafat pada tahun 292 H). Kitab beliau berjudul As-Sunnah.
  14. Imam Abu Bakar Muhammad bin Al-Husain bin Abdillah Al-Ajurri (wafat pada tahun 360 H). Diantara karya beliau adalah kitab Asy-Syari’ah dan kitab At-Tasdiq bin Nazhar ila Wajhillah wama A’adda li Auliya’uhu.
  15. Imam Abul Qasim Sulaiman bin Ahmad At-Tabrani. Beliau memiliki karya-karya Al-Ma’ajim (Jamak/Plural kepada perkataan Mu’jam – edt) dan selainnya seperti kitab As-Sunnah (wafat pada tahun 360 H).
  16. Imam Abu Ali Haubal bin Ishaq Asy-Syaibani, anak pakcik Imam Ahmad dan murid beliau (wafat pada tahun 283 H). Beliau menulis kitab yang berjudul As-Sunnah.
  17. Imam Abu Bakar Ahmad bin Muhammad bin Harun Al-Khallaf, beliaulah yang telah menghimpun ilmu Imam Ahmad (wafat pada tahun 311 H). Beliau menulis kitab As-Sunnah dalam tiga jilid dan telah ditahqiq satu jilid oleh DR. ‘Atiyah Az-Zahrani.
  18. Imam Abu Syeikh Abdullah bin Muhammad bin Ja’far bin Hayyan Al-Asbahani. Karyanya banyak, diantaranya adalah kitab As-Sunnah (wafat pada tahun 369 H).
  19. Imam Abu Bakar Ahmad bin ‘Amr bin Abi ‘Ashim An-Nabil Asy-Syaibani (wafat pada tahun 287 H). Beliau menulis kitab As-Sunnah dan telah ditakhrij hadisnya oleh Syeikh Nasiruddin Al-Albani rahimahullah.
  20. Imam Abu Hafiz Umar bin Ahmad bin Usman Al-Baghdadi, seorang penasihat dan terkenal dengan nama “Syahin.” Beliau seorang hafiz besar (wafat pada tahun 385 H). Beliau memiliki kitab As-Sunnah.
  21. Imam Abul Hasan Al-Asy’ari (wafat pada tahun 324 H). Beliau menulis kitab Al-Ibanah dan kitab Al-Mujiz. Beliau mengarang kitab tersebut dengan mengikuti jalan ahlul hadis dalam menetapkan sifat-sifat (bagi Allah) dan di dalamnya terdapat bantahan terhadap Jahmiah dan selainnya serta orang yang menta’tilkan (menolak) sifat-sifat (bagi Allah).
  22. Imam Khasyisy bin Asram (wafat pada tahun 253 H). Beliau menulis kitab yang berjudul Al-Istiqamah dan Ar-Raddu ‘alal Ahlil Bid’ah.
  23. Imam Ishaq bin Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah (wafat pada tahun 311 H), menulis kitab At-Tauhid wa Itsbat sifat Irrabi Azza wa Jalla.
  24. Imam Abu Ja’far Muhammad bin Jarir At-Tobari (wafat pada tahun 310 H). Beliau adalah penulis kitab tafsir yang besar dan kitab-kitab di atas manhaj ahli hadis dan sunnah, sebagaimana telah berlalu penjelasannya.
  25. Abu Abdillah Muhammad bin Yahya bin Mundah, seorang hafiz dan banyak berjalan dalam rangka untuk menuntut ilmu. Karya beliau antara lain kitab As-Sunnah (wafat pada tahun 301 H).
  26. Imam Abu Al-Qasim Hibatullah bin Hasan Al-Lalikai (wafat pada tahun 481 H). Diantara kitab beliau adalah Syarah Usulus Sunnah dan telah dicetak dengan ditahqiq oleh DR. Ahmad Sa’ad Hamdan.
  27. Imam Al-Hafiz Amirul Mukminin dalam ilmu hadis, Abul Hasan bin Umar Ad-Daruqutni (wafat pada tahun 385 H). Diantara kitab beliau adalah kitab As-Sifat, kitab An-Nuzul dan kitab Ar-Ru’yah.
  28. Imam Al-Hafiz ‘Ubaidullah bin Muhammad bin Battoh Al-‘Akbari (wafat pada tahun 387 H). Diantara karya beliau adalah Al-Ibanah ‘an-Syari’atil Firqatunnajiyah wa Mujanabatul Firaqil Mazmumah, kitab Al-Ibanah As-Sughra dan kitab As-Sunnah.
  29. Imam Muhyis Sunnah, Abu Muhammad Al-Husain bin Mas’ud Al-Baghawi (wafat pada tahun 516 H). Diantara karya beliau adalah Syarhus Sunnah dan di dalamnya mencakup kitab Al-Iman. Diantara bab dalam kitab Al-Iman adalah bab: Ar-Raddu ‘alal Jahmiyah, bab: Bantahan terhadap Bid’ah-bid’ah dan hawa nafsu, bab: Menjauhi Ahlul Ahwa’. Dan telah lalu diisyaratkan kitab beliau dalam kitab-kitab tafsir.
  30. Imam Al-Hafiz Abul Qasim Ismail bin Muhammad bin Al-Fadl At-Taimi Al-Asbahani (wafat pada tahun 535 H). Diantara kitab beliau adalah Al-Hujjah fi Bayanil Mahajjah, dan Syarah Mazhab Ahlus Sunnah, dan telah dicetak dengan dua jilid dengan Muhaqqiq Muhammad Rabi’ Al-Madkhali dan Muhammad Abu Rahim.
  31. Imam Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, Taqiyuddin Ahmad bin Abdul Halim bin Taimiyah (wafat pada tahun 728 H). Kitab-kitab beliau terkenal (di kalangan kaum muslimin) dan banyak dipakai oleh para penuntut ilmu.
Beliau telah mengarang kitab-kitab yang banyak, baik dalam masalah akidah atau di dalam dakwah agar kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah, memerangi segala bentuk bid’ah dan hawa nafsu. Diantara kitab beliau, antara lain: Al-Aqidah Al-Wasitiyah, Al-Aqidah Al-Hamawiyah, At-Tadmuriyah, Iqtidha Siratal Mustaqim, Minhajus Sunnah, Daru Ta’arudhul ‘Aql wan Naql, Qaidatan Jalilatun fi At-Tawassul wal Wasilah, Ar-Raddu ‘ala Al-Bakri dan Ar-Raddu ‘ala Al-Akhna’i.

Sumber: Kajian Bagi Pemula Berkenalan Dengan Salaf, Pustaka Sumayyah, Penterjemah Abu Usamah Ibnu Rawiyah An-Nawawi. Judul Asli: Adwa’un ‘ala Kutubis Salafi fil ‘Aqidah. Dipindahkan ke dalam CHM oleh Ahmad Al-Makassari (ashthy.wordpress.com)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails