Monday, June 30, 2008

Bidaah: Pengertian & Hukum

Oleh: Abu ar-Rubayyi' Muhammad Asrie bin Sobri as-Salafy.


Maksud Bidaah dalam Bahasa:

"Mengadakan sesuatu tanpa contoh sebelumnya". Dalilnya firman Allah S.W.T:


Maksudnya: "Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, Maka (cukuplah) dia Hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah!" lalu jadilah ia." - [al-Baqarah:117]


Maksud Bidaah dalam Istilah:

1) Takrif yang luas: "Setiap perkara yang tidak pernah wujud dalam zaman Rasulillah S.A.W".


2) Takrif yang khusus : "Satu cara dalam agama yang diada-adakan untuk meniru cara agama yang sebenar diniatkan melakukannya untuk meniru cara yang disyariatkan".


Takrif yang sesuai adalah takrif yang kedua kerana lebih fokus dengan teks hadis Rasulullah S.A.W adapun takrif yang pertama lebih terikat dengan lughah berbanding teks hadis.


Bidaah itu secara ringkas apa yang berlawanan dengan sunnah. Maka perlu kita tahu dahulu makna sunnah itu:

"Jalan atau cara yang diikuti dalam agama yang warid daripada Rasulullah S.A.W atau para sahabat baginda para as-Salaf as-Soleh".

Maka bidaah itu:

"Jalan atau cara yang diikut (diamal) dalam agama yang tidak warid daripada Rasulullah S.A.W atau sahabat baginda dan as-Salaf as-Soleh".


Kedudukan Bidaah:

Bidaah itu perbuatan yang dicela pada syara' berdasarkan hadis-hadis berikut:


1- وإياكم ومحدثات الأمور ؛ فإن كل محدثة بدعة ، وكل بدعة ضلالة


Maksudnya: "dan berjaga-jagalah kamu daripada mengada-adakan perkara agama kerana setiap yang diada-adakan dalam agama itu bidaah dan setiap bidaah itu membawa kesesatan" - [Abu Daud, Ibn Majah, at-Tarmizi, Sahih]


2- إن أصدق الحديث كتاب الله ، وأحسن الهدي هدي محمد ، وشر الأمور محدثاتها ، وكل محدثة بدعة وكل بدعة ضلالة وكل ضلالة في النار


Maksudnya: "Sesungguhnya sebenar-benar perkataan ialah Kitab Allah (Al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara apa yang diada-adakan dalam agama dan setiap yang diada-adakan itu bidaah dan setiap bidaah itu menyesatkan dan setiap yang menyesatkan membawa ke nereka" - [an-Nasai, asalnya dalam Muslim,sahih]


3- من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد


Maksudnya: "Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kami(agama) yang tidak ada asal padanya maka ia tertolak" - [al-Bukhari & Muslim].


Ketiga-tiga hadis ini memberikan kita takrif bidaah yang ringkas dan padat iaitula: "Perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama tanpa dalil". Maka tidak termasuk bidaah itu :Membuat alatan-alatan elektronik, makanan yang beraneka jenis, jenis pakaian selama tidak menyerupai orang kafir dan sebagainya daripada adat keduniaan selama tidak dijadikan ibadah mahdah.


Demikian lagi bukan termasuk bidaah mengumpul al-Quran kerana ada dalilnya iaitu masalih al-mursalah, solat terawih berjemaah kerana ada dalilnya yang sorih daripada perbuatan nabi dan sebagainya.


Demikian juga menjadi bidaah perkara-perkara ijtihadi apabila jelas kesalahan mujtahid dalam istidlal seperti berlafaz dengan niat walaupun terdapat ijtihad mengatakan ia sunat dengan cara qias ia menjadi bidaah kerana berlawanan dengan qaedah qias: "Tidak ada qias dalam perkara solat" dan "Tidak ada qias dengan wujudnya nas".


Qaedah Menetapkan Bidaah:

3 usul yang menjadikan sesuatu amalan bidaah:

1- Beribadah dengan perkara-perkara atau cara-cara yang tidak disyariatkan.

2- Keluar daripada sempadan agama dalam beribadah

3- Amalan-amalan yang membawa kepada bidaah adalah bidaah.


Setiap asal ini terdapat pula kaedah-kaedah di bawahnya yang terlalu panjang untuk dijelaskan. Maka kami akan menjelaskan secara ringkas:


Asal Pertama: Mereka yang beribadah dengan ibadah yang tidak ada dalam syara' adalah bidaah seperti menjadikan perkahwinan itu mesti dalam bulan tertentu atau menjadikan satu-satu adat dalam perkahwinan sebagai wajib seperti kewajipan syara'. Ini dinamakan bidaah haqiqi.


Demikian juga jika dia melakukan ibadah yang ada asal dalam syariat tetapi tidak mengikut cara yang benar seperti berzikir secara jama'i selepas solat, solat sunat hajat berjemaah di masjid, mengadakan perayaan hari ibu dan bapa kerana berbakti kepada ibu bapa itu ibadah tetapi bukan dengan merayakan mereka dan seumpamanya. Ini yang disebut bidaah idhafi.


Asal Kedua: Asal kedua ini meliputi beribadah kepada Allah dengan perkara yang dilarang maka ia menyentuh bidaah haqiqi. Misalnya orang yang mengambil dadah secara salah untuk menguatkan tubuh kononnya dalam berjihad, orang yang mengadakan tarian dan nyanyian dengan dakwaan menjadi sarana dakwah, dan termasuk juga meniru adat-adat budaya orang-orang kafir.


Asal Ketiga: Perkara yang boleh membawa kepada berlakunya bidaah seperti solat sunat mutlak selepas azan kedua jumaat kerana boleh menyebabkan manusia menyangka adanya solat sunat qabliyyah jumaat, sentiasa berterusan membaca surah as-Sajdah dan al-Insan dalam solat subuh pagi Jumaat takut disangka ianya wajib, dan sebagainya.


Adakah adat menjadi bidaah?:

Adat apabila berlaku padanya salah satu perkara maka dia menjadi bidaah:

1- Dijadikan sebagai ibadah seperti orang yang memakai baju bulu dengan sangkaan adanya perintah agama memakainya, orang yang tidak makan daging dengan sangkaan ibadah kepada Allah dan orang yang meninggalkan berubat dengan cara moden kerana tidak islamik pada iktiqadnya.


2- Apabila adat itu menyerupai amalan atau agama kafir seperti memakai pakaian paderi atau seumpama paderi, menyambut perayaan-perayaan kemerdekaan, hari ibu dan bapa, hari guru, hari pekerja, hari kekasih dan sebagainya.


Mengkhususkan Ibadah yang mutlak:

Ibadah yang syara' suruh kita lakukan secara mutlak tanpa batas waktu tertentu menjadi bidaah apabila kita mengkhususkan waktu tertentu untuk melakukannya. Sebagai contoh membaca surah tertentu daripada al-Quran dengan dikhususkan pada malam tertentu dengan bukan niat 'tanzim' (pengurusan). Jika seseorang melakukan sesuatu amalan mutlak tertentu pada waktu tertentu sebagai tanzim bukan taqyid diharuskan seperti penyusunan jadwal waktu belajar, menyusun juzuk-juzuk al-Quran tertentu untuk dibaca pada malam tertentu, mengkhususkan satu hari cuti untuk menziarahi ibu dan meletakkan satu hari bagi melaksanakan kempen tertentu seperti hari tembakau sedunia, hari kanak-kanak sedunia dan seumpamnya yang bukan untuk dirayakan tetapi untuk melaksankan program tertentu dan menyeragamkam pelaksanaan tersebut.


Bidaah Perayaan:

Perayaan bermaksud hari atau tempat yang padanya terdapat perhimpunaan dan kesukaan untuk meraikan sesuatu dan berulang-ulang. Dalam Kamus Pelajar, DBP ditakrifkan sebagai: "Hari yang diraikan kerana sebab-sebab tertentu" dan dalam Kamus Dewan Edisi ke-3 ditakrifkan Perayaan sebagai: Pesta untuk merayakan 9 membesarkan dan memuliakan sesuatu peristiwa, keramaian, perjamuan dan lain-lain". Dalam Islam hanya terdapat 2 perayaan tahunan dan 1 peryaan mingguan iaitulah; eidul Fitri, eidul Adha dan Hari Jumaat. Perayaan selain 3 ini adalah bidaah walaupun yang dilakukan hanya perkara-perkara adat seperti perarakan dan persembahan permainan kerana hadis baginda S.A.W:


عن أنس بن مالك قال: كان لأهل الجاهلية يومان في كل سنة يلعبون فيهما فلما قدم النبي صلى الله عليه و سلم المدينة قال: كان لكم يومان تلعبون فيهما وقد أبدلكم الله بهما خيرا منهما يوم الفطر ويوم الأضحى


Maksudnya: Daripada Anas bin Malik R.A katanya: Adalah orang Jahiliyyah itu mempunyai 2 hari dalam setahun mereka bermain-main (bersuka ria) padanya, maka apabila Nabi S.A.W tiba di Madinah baginda bersabda: "Sesungguhnya 2 hari yang kamu jadikan untuk bersuka-suka padanya itu telah Allah gantikan dengan yang lebih baik iaitulah hari al-Fitri dan al-Adha". - [Abu Daud, an-Nasai-Sahih]


Syahid dalam hadis ini meyatakan perayaan yang Rasulullah S.A.W larang untuk disambut itu bukanlah ada padanya ibadah khusus tetapi hanyalah hari mereka bersuka-ria mengadakan pesta. Maka apa-apa hari yang demikian rupanya berulang-ulang pada setiap tahun maka ia adalah perayaan dalam takrif syara' dan bidaah.


Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah R.H menyatakan istilah Eid itu merangkumi:

1- Ibadat yang dilakukan pada hari itu


2- Tempat yang diadakan.


3- Adat-adat yang diadakan.


4- Segala upacara yang diadakan sebelum dan selepas hari tersebut yang berkaitan dengan perayaan itu.


Maka jelaslah bahawa perayaan-perayaan Hari Ibu, Bapa, Guru, Pekerja dan Kemerdekaan adalah bidaah walaupun tidak dibuat padanya ibadat khusus. Adapun hari Tembakau misalnya tidak dinamakan perayaan kerana ia bukan untuk menyambut atau meraikan tembakau tetapi adalah kempen supaya meninggalkan rokok maka menentukan hari tertentu untuk melaksanakan kempen ini adalah harus jika dengan tujuan tanzim adapun dengan tujuan taqyid maka bidaah jua kerana amar makruf nahi munkar itu ibadah mutlak.


Hukum Bidaah:

Bidaah itu dicela dan dilarang dalam agama tetapi jenis hukumya berperingkat-peringkat dan kadang-kadang berbeza mengikut keadaan pelakunya. Penjelasannya seperti berikut:


1- Bidaah Mukaffirah : Iaitulah yang boleh mengkafirkan pelakunya seperti bidaah kaum jahiliyyah menyembah berhala dengan tujuan mendekatkan diri pada Allah dan seumpamanya bidaah beristighasah dengan wali dan orang mati yang dilakukan kaum sufi.


2- Bidaah Ghair Mukaffirah: Iaitulah yang tidak mengkafirkan dan berperingkat pula

· Kabirah : Iaitu dosa besar seperti mengubah syiar agama dengan menambah solat-solat yang tiada asal atau membuat iktiqad-iktiqad yang bidaah.

· Shagirah: Dosa kecil jika dilakukan dalam perkara-perkara yang tidak mengubah syiar agama dan bukan perkara dharuri agama.


Pembuat bidaah:

Tedapat 2 jenis pembuat bidaah:

1- Yang menyeru kepada bidaahnya: Dia hendaklah ditahzirkan dan dihajar.


2- Yang tidak menyeru kepada bidaahnya: Dinasihatkan dan diberi peringatan sampai dia bertaubat.


Adapun muqallid atau pentaqlid dikira menjadi ahli bidaah apabila:

1- Dia melakukannya dalam keadaan tahu perkara itu bidaah dan faham keharamannya.

2- Dengan suka rela tanpa paksaan.

3- Tidak ada syubhat padanya.


Ikhtilaf dalam Bidaah:

Jika sesuatu perkara yang dihukum bidaah itu oleh sebahagian Ulama' Ahli Sunnah wal Jamaah dan sebahagian lagi tidak atau mengatakan sunnah maka mereka yang telah jelas dan rajih padanya dalil bahawa perkara itu bidaah kemudian ingkar meninggalkannya kerana taksub termasuk dalam orang yang membuat bidaah. Adapun jika dia masih samar-samar atau melihat rajihnya pendapat yang mengatakan sunnah maka dia dimaafkan dan semoga Allah memberi pahala atas ijtihadnya. Tidak boleh dihajar dan ditahzir dalam perkara bidaah seumpama ini. Contohnya banyak seperti:


  • Doa Qunut Subuh
  • Membaca Basmalah secara jahar dalam solat jahriah
  • Meletakkan tangan di dada semasa iktidal
  • Rakaat solat terawih
  • Menggerak-gerakan jari sewaktu tasyahhud.


Wallahua'lam.

Sunday, June 15, 2008

LARANGAN DUDUK DAN NYALAKAN LAMPU DI KUBURAN


Sebelum kewafatan Nabi s.a.w, baginda pernah kepada sahabat-sahabatnya menerusi sabdanya:


لا تتخذوا قبري عيدا ولا تجعلوا بيوتكم قبورا


Jangan kamu jadikan kuburanku sebagai tempat perayaan, dan janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan-kuburan." [Riwayat Muslim]

Abu Ya'la al-Musili dalam Musnadnya meriwayatkan atsar daripada Ali bin Husin, katanya: "Bahawasanya dia telah melihat seorang lelaki menuju ke suatu sudut berhampiran kubur Nabi s.a.w. lalu lelaki itu masuk ke tempat itu dan berdoa. (Apabila Ali bin Husin melihat perbuatan lelaki tersebut) beliau pun mencegah seraya berkata: "Mahukah aku ceritakan kepadamu apa yang telah aku dengar daripada ayahku, daripada datukku , daripada Nabi s.a.w. bersabda: "Janganlah kamu jadikan kuburanku sebagai perayaan. Dan janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan. Sesungguhnya salam yang kamu ucapkan itu akan sampai kepadaku di mana saja kamu berada." [Iqtida' al-Sirath al-Mustaqim oleh Ibn Taimiyyah, jilid 1, ms 300-301]

Said bin Mansur dalam Musnadnya meriwayatkan daripada Suhail bin Abi Suhail berkata: "Hasan bin Hasan bin Ali bin Abu Talib r.a. telah meihatku yang sedang berada di kubur Nabi s.a.w. Lalu beliau memanggilku dan ketika itu dia berada di rumah Fatimah, sedang makan malam. Beliau berkata: Marilah menjamu makan malam bersamaku. Aku pun berkata: "Aku tidak mahu." lalu beliau berkata kepadaku: "Aku melihat engkau berada di kuburku, apa yang yang engkau buat di situ? Aku menjawab: "Aku mengucapkan salam kepada Nabi s.a.w." Beliau pun berkata: "Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah kamu jadikan kuburanku sebagai tempat perayaan dan janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan. Allah melaknat orang-orang yahudi yang telah menjadikan kubur-kubur nabi mereka sebagai tempat-tempat peribadatan. Berselawatlah kamu kepadaku. Sesungguhnya selawat kamu itu akan sampai kepadaku di mana sahaja kamu berada." (perawi) berkata: "Selawat kamu dengan orang yang tinggal di andalus adalah sama." [Ibid, ms 302-303]

Al-Suyuti r.h menjelaskan atsar ini seperti berikut: "Bahawa kubur Rasulullah s.a.w. adalah kubur yang paling agung di muka bumi ini. Namun, baginda melarang untuk menjadikannya sebagai perayaan yang berulang-kali dilakukan ziarah padanya. Maka kubur selain kubur baginda lebih utama pelarangannya bagaimana kedudukannya. Kemudian baginda menggabungkan perkata itu dengan sabdanya yang berikut: "Dan janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan." Makanya janganlah kamu meninggalkan rumah kamu itu dari mengerjakan solat, berdoa dan membaca al-quran. Jika kamu tidak mengerjakan amalan-amalan tersebut di rumah kamu, maka ianya sama kedudukannya dengan kuburan. Baginda memerintahkan supaya berusaha untuk melakukan amalan ibadah di rumah dan melarang melakukan amalan ibadah di kuburan. Baginda memerintahkan supaya berusaha untuk melakukan amalan ibadah di rumah dan melarang melakukan amalan ibadah itu di kuburan. Berbeza dengan apa yang dilakukan oleh orang-orang musrikin di kalangan Nasara dan orang-orang lain yang meniru-niru perbuatan mereka. Setelah baginda melarang menjadikan kuburannya sebagai perayaan, baginda mengiringi dengan sabdanya: "Dan selawatlah kamu ke atasku Sesungguhnya selawat kamu akan disampaikan kepadaku di mana saja kamu berada." Melalui sabdanya ini, Nabi s.a.w mengisyaratkan bahawa selawat dan salam akan sampai kepadanya baik dari orang yang berselawat dekat kuburannya ataupun orang yang jauh dari kubur baginda. Maka tidak perlu untuk kamu menjadikan kuburannya sebagai perayaan (sering dikunjungi). Kemudian generasi Tabi'in yang paling mulia dari kalangan ahlul bait iaitu Ali bin Husen, beliau sendiri telah melarang seorang lelaki yang bersungguh-sungguh ingin berdoa di kubur Nabi s.a.w. Beliau menjelaskan bahawa niat lelaki itu untuk berdoa dan amalan seumpamanya di situ serta dia ingin menjadikannya sebagai tempat yang sering dikunjungi. Demikian halnya dengan anak pakciknya iaitu Husein bin Hasan. Beliau membenci orang yang menginginkan untuk memberikan salam kepada kubur seseorang dan seumpamanya. Beliau menganggap perbuatan itu adalah menjadikan nya sebagai perayaan. Maka perhatikanlah sunnah ini. Bagaimana ia dilakukan oleh Ahlil Bait yang mana mereka mempunyai keturunan dengan Rasulullah s.a.w. Mereka tinggal berdekatan sekali dengan baginda. Mereka adalah orang yang lebih berhajat untuk melakukannya daripada orang lain. Mereka adalah orang yang paling teliti dalam urusan ini." [Al-Amru bin al-Ittiba' oleh al-Suyuti, ms 127-128]

Ibn Qayyim rhm menjelaskan maksud perayaan di dalam hadis ini. Beliau mengatakan: "Al-'aid ialah apa yang biasa dikunjunginya dan diniatkannya pada suatu waktu dan tempat. Perayaan ini diambil daripada perkataan al-Mu'awadah dan al-I'tiqad. Jika ia untuk tempat, maka ialah tempat yang diamaksudkan untuk berkumpul padanya dan menumpukan untuk melakukan ibdah ataupun untuk tujuan perkara-perkara yang lain sepertimana Masjid al-Haram, Mina', Arafah dan tempat-tempat tertentu yang mana Allah telah menjadikannya untuk orang-orang yang mentauhidkanNya dan mereka akan mendapat pahala di tempat-tempat itu, sepertimana Allah menjadikan hari-hari raya sebagai perayaan. Adalah kaum musyrikin, mereka ada perayaan-perayaan di waktu-waktu dan tempat-tempat tertentu. Apabila Allah mendatangkan Islam, Dia menggantikan bagi orang-orang Islam perayaan-perayaan itu kepada hari raya 'Aidil Fitri dan hari raya 'Aidil Adha dan hari-hari tertentu di Mina'. Sepertimana juga Allah menggantikan buat mereka dari perayaan-perayaan kaum musyrikin di tempat-tempat tertentu, digantikan dengan kaabah, Mina', Muzdalifah, Arafah dantempat-tempat yang telah ditentukanNya. [Taisir al-Azizil Hamid fi Syarhi kitab al-Tauhid oleh Syeikh Sulaiman bin Abdullah bin Muhammad bin Abdul Wahab, ms 257-258]

Maksud sabda Nabi s.a.w: "Dan janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kuburan-kuburan" ialah:

"Janganlah kamu meninggalkan amalan-amalan ibadah di rumah kamu seperti solat, berzikir dan berdoa. Jika kamu tidak melakukan amalan-amalan tersebut, jadilah rumah-rumah kamu itu kedudukannya sama seperti kuburan. Maknanya amalan-amalan ibadah tersebut tidak disyariatkan dikuburan kerana sesungguhnya kuburan itu bukan tempatnya untuk melakukan ibadah. Oleh sebab itulah, kita dilarang menjadikan rumah-rumah kita seperti kuburan."

Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda:


لأن يجلس احدكم على جمرة فتحرق ثبابة فتخلص الى جلده خير له من أن يجلس على قبر


"Sesungguhnya orang yang duduk di kalangan kamu di atas bara api, lalu terbekar bajunya dan membakar kulit tubuhnya, lebih baik baginya daripada dia duduk di atas kuburan." [Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasai, Ibn Majah, dan Ahmad]

Daripada Jabir r.a berkata:


نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يجصص القبر وأن يقعد عليه و أن يبنى عليه


"Rasulullah s.a.w melarang mengecat kuburan, duduk di atasnya dan membuat binaan di atas kubur." [Riwayat Muslim, kitab al-Jana'iz, no: 2242]

Daripada Jabir juga berkata:


نهى رسرل الله صلى الله عليه وسلم أن تجصص القبور وأن يكتب عليها وأن يبنى عليها وأن توطأ


"Rasulullah s.a.w melarang mengecat kuburan, menulis di atasnya, membuat binaan di atasnya dan duduk di atas kuburan." [Riwayat Daud, no: 1058]

Rasulullah s.a.w bersabda:


ولا تجلسوا على الفبور ولا تصلوا إليها


"Dan jangan kamu duduk di atas kuburan dan janganlah kamu solat menghadap kuburan." [Riwayat Muslim no: 2247, Abu Daud no: 3229, Tirmizi no: 1055]

Ibn Qayyim berkata: "Dan Rasulullah s.a.w melarang menjadikan kuburan-kuburan sebagai tempat-tempat peribadatan dan melarang untuk menyalakan lampu di kuburan. Larangannya itu lebih tegas lagi sehingga baginda melaknat orang yang melakukannya. Baginda juga melarang solat menghadap ke kuburan dan melarang umatnya menjadikan kuburnya sebagai tempat perayaan dan melaknat umatnya menjadikan kuburnya sebagai tempat perayaan dan melaknat wanita-wanita yang selalu menziarahi kubur. Adalah dari petunjuk baginda ialah kubur itu tidak dihina (mengenakan najis di kubur) dan tidak boleh di duduki di atasnya. Tidak boleh duduk dan bersila di atas kuburan dan tidak boleh ia diagungkan dengan menjadikannya sebagai tempat beribadat, iaitu solat di kubur dan menghadap ke kubur, menjadikannya sebagai tempat perayaan dan penyambahan (melakukan ibadat)." [Zaadul Ma'ad oleh Ibn Qayyim al-Jauziyah, jilid 1, ms 525-526]

Al-Suyuti rhm berkata: "Demikian juga menyalakan lampu-lampu seperti pelita dan lilin di tempat-tempat yang disaksikan (kuburan) dan tanahnya. Perkara itu dilarang tanpa ada perselisihan lagi kerana ada hadis yang melarangnya. Orang yang melakukannya dilaknat berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w di mana baginda bersabda: "Allah melaknat wanita-wanita yang gemar menziarahi kubur-kubur itu sebagai tempat beribadah dan menyalakan lampu di atasnya." [Al-Amru bi al-Ittiba' wan Nahyu anil Ibtida' oleh al-Suyuti, ms 129]

Al-Syeikh Ali Mahfuz al-Misri dalam bukunya al-Ibda' fi madharil Ibtida', (ms 189) memuatkan satu bab yang bertajuk
المبيت في المقابير ertinya: "Bermalam di kuburan." Beliau menegaskan: "Dan di antara amalan-amalan yang buruk ini ialah bermalam di atas kuburan dan menyalakan lampu, pelita atau seumpamanya di atas kuburan-kuburan. Terdapat hadis daripada Ibn Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Dilaknat orang-orang yang gemar menziarahi kuburan, menjadikannya tempat untuk bersujud (beribadah) dan menyelakan lampu padanya. Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi dan beliau menghasankannya. Sesungguhnya Nabi s.a.w telah pun melarang mengiringi jenazah dengan api. Maka bagaimanakah apabila ianya dinyalakan di atas perkuburan?! Berkata al-Allamah al-Barkui: Semua perkara yang dilaknat oleh Rasulullah s.a.w maka ia menunjukkan bahawa perkara itu termasuk dosa-dosa besar. Para ulama fuqaha secara tegas mengharamkan perbuatan itu. Kerana jika perbuatan menyalakan lampu di atas kuburan adalah perkara yang dibolehkan maka orang yang melakukannya tidaklah dilaknat. Ianya dilaknat kerana terdapat pembaziran harta pada perkara yang tidak ada faedahnya. Berlebih-lebihan dalam mengagungkan (memuliakan) kuburan menyerupai pengagungan kepada patung-patung berhala."

Ibn Hajar dalam bukunya "al-Zawajir" dalam menyatakan dosa besar yang ke 93, 94, 95, 96, 97 dan 98 berkata: "Menjadikan kuburan-kuburan sebagai masjid-masjid (tempat peribadatan), menyalakan lampu di atas kuburan, meletakkan patung-patung. Juga bertawaf di kuburan, mengusap-ngusapnya dan solat ke kuburan."

Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Abdari al-Maliki atau lebih dikenali Ibn al-Haj dalam bukunya "al-Madkhal" (jilid 2, ms 215) berkata: "Dan hendaklah menjauhi dari bid'ah ini yang dilakukan oleh sebilangan orang iaitu mereka menyalakan lampu ataupun pelita di tampat mayat dikebumikan (kuburan) selama tiga malam bermula dari terbenam matahari sehingga terbit fajar. Sesetengah mereka melakukan selama tujuh hari."

Sheikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi berkata: "Dan Nabi s.a.w melaknat orang yang menjadikan kubur sebagai masjid atau menyalakan lampu atasnya. Maka inilah agama Islam yang dengannya Allah mengutus Rasul dan NabiNya. Dan asinglah Islam dikalangan manusia sepertimana yang engkau lihat." [Islahul Majid oleh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi, ms 165]

*Dinukil daripada buku "Membela Sunnah Nabawiyah" oleh Abdul Wahab bin Bustami, ms 200-208

Sunday, June 8, 2008

10 PERKARA PEMBATAL KE-ISLAMAN

Oleh: Ustaz Abu Rubayyi' Muhammad Asrie bin Sobri


Terdapat 10 perkara yang jika dilakukan oleh seseorang maka dia dianggap kafir dan murtad:


1 - Syirik Akbar: Iaitulah menjadi sekutu bagi Allah dalam perkara ibadat atau dalam ibarat yang lain menjadikan sembahan selain Allah S.W.T seperti berdoa kepada orang mati, menyembah berhala, bertawakkal kepada jin dengan berkorban padanya atau memberi makan hantu. Dalilnya firman Allah (maksudnya):


"Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan dia mengampuni dosa yang selain syirik bagi siapa yang dikehendaki-Nya. barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, Maka Sesungguhnya ia Telah tersesat sejauh-jauhnya." [an-Nisaa;:116]


2 - Menjadikan perantara antara dia dengan Allah seperti berdoa kepada wali-wali dan memohon hajat kepada mereka. Dalilnya firman Allah S.W.T (maksudnya): "Ingatlah, Hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat- dekatnya". Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar". [az-Zumar:3]


3 - Tidak mengkafirkan orang yang telah dikafirkan Allah S.W.T dan Rasul-Nya seperti Yahudi, Krsitian, Hindu dan semua agama selain Islam atau syak pada kekufuran mereka atau mensahihkan aqidah mereka yang batil seperti berkata: "Semua agama sama". Dalilnya firman Allah Taala (maksudnya): "Sesungguhnya agama (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam. tiada berselisih orang-orang yang Telah diberi Al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, Karena kedengkian (yang ada) di antara mereka. barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah Maka Sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya". [Ali-Imran:19]


4 - Mendakwa bahawa ada undang-undang yang lebih baik daripada undang-undang Islam atau petunjuk yang lebih baik dari petunjuk Rasulullah S.A.W. Firman Allah (maksudnya): "Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ?". [al-Maidah:50]


5 - Membenci apa yang di bawa oleh Rasulullah S.A.W walaupun dia beramal dengannya. Jika dia menzahirkan hukum-hukum Islam tetapi membencinya maka dia adalah munafiq, tidak disolatkan jenazahnya dan tidak ditanam di kuburan muslimin. Firman Allah S.W.T (maksudnya): "Yang demikian itu adalah Karena Sesungguhnya mereka benci kepada apa yang diturunkan Allah (Al Quran) lalu Allah menghapuskan (pahala-pahala) amal-amal mereka". [Muhammad:9]


6 - Mengejek ajaran Islam seperti berkata: "Menyimpan janggut itu kolot" atau menggelar wanita yang betudung itu wanita kampungan dan sebagainya. Firman Allah Taala (maksudnya): "Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan manjawab, "Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja." Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?" Tidak usah kamu minta maaf, Karena kamu kafir sesudah beriman. jika kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), niscaya kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa". [at-Taubah:65&66]


7 - Sihir. Sesiapa yang mengamalkan sihir maka dia kufur terhadap Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah S.W.T (maksudnya): "mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil yaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorangpun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami Hanya cobaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir". [al-Baqarah:102].


8 - Membantu orang-orang kafir munguasai kaum muslimin dan memerangi mereka. Dalilnya firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 51 (maksudnya): "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka Sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim".


9 - Beriktiqad adanya sebahagian manusia yang boleh keluar dari sempadan syariat seperti percaya jika sampai kepada maqam zikir tertentu kewajipan solat gugur daripadanya. Ini berdasarkan firman Allah Taala dalam surah Ali-Imran ayat 85 (maksudnya): "Barangsiapa mencari agama selain agama islam, Maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu)daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi"


10 - Mengabaikan ajaran Islam sehingga tidak mengamalkan satu pun ajarannya dan tidak langsung belajar berkenaannya. Ini berdasarkan firman Allah Taala dalam surah as-Sajdah ayat 22 (ertinya): "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang Telah diperingatkan dengan ayat-ayat Tuhannya, Kemudian ia berpaling daripadanya? Sesungguhnya kami akan memberikan pembalasan kepada orang-orang yang berdosa".


*Seorang Muslim yang melakukan 10 perkara ini akan menjadi kufur apabila:

- Dia melakukannya dalam keadaan tahu bukan jahil

- Sengaja bukan terpaksa atau tersalah

- Telah ditegakkan atasnya hujjah jika perkara itu bukan perkara dharuri agama.


Rujukan:

1- Syeikhul Islam Muhammad Bin Abdil Wahab, Nawaqidh al-Islam.

2- Al-Allamah Abdul Aziz ar-Rajihi, Asilah al-Iman wal Kufr.

Thursday, June 5, 2008

Selawat Yang bercanggah dengan Syarak

Pada hari ini ramai daripada kalangan masyarakat yang mengamalkan suatu amalan yang tidak ada sumber daripada Al-Quran dan Hadis yang sahih. Akan tetapi mereka menjadikan amalan turun-temurun atau ikutan para guru-guru yang di sangka alim dalam ilmu agama. padahal umat islam haruslah memastikan amalan yang dilakukan tersebut berdasarkan sumber dan nas yang wujud bukannya sangkaan semata. Kerana setiap Ibadat yang tidak ada daripada ajaran agama adalah tertolak berdasarkan sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: "Barangsiapa yang mengada-adakan suatu urusan agama yang tiada daripada kami, maka ia tertolak." [Rujuk hadis 40. An-Nawawi, no: 5]

1. Selawat:


اللهم صلى على سيدنا محمد طب القلوب ودواءها وعافية الأبدان وشفائها ونور الأبصار وضيائها وعلى آله وصحبه وسلم


"Ya Allah Ya Tuhanku, selawatlah dan salamlah ke atas Muhammad s.a.w. penyembuh dan penawar hati, penyihat dan penyembuh badan, cahaya dan penyinar mata hati dan juga ahli keluarga baginda serta sahabat-sahabatnya dan berilah keselamatan."

Penyembuh dan penawar kepada badan, hati dan mata hati ialah Allah S.W.T semata-mata. Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai kuasa untuk memberi manfaat baik kepada diri sendiri mahupun orang lain. Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w: "Janganlah kamu sekalian melampau dalam mengangung-agungkan aku sebagaimana orang-orang Nasrani mengagungkan Isa anak Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah hamba Allah, maka sebutlah hamba Allah dan RasulNya." [HR. Bukhari]

2. Selawat:

اللهم صلى على محمد حتى تجعل منه الأحدية القومية

"Ya Allah Ya Tuhanku, Selawatlah ke atas Muhammad sehingga Engkau menjadikan dirinya sifat keesaan dan berdiri dengan sendiri (Al-Qayyamiyyah)."

Sifat Al-Ahadiyah dan Al-Qayyumiyah adalah antara sifat Allah yang disebut dalam Al-Quran, tetapi syeikh yang mereka selawat ini telah meletakkannya kepada Rasulullah s.a.w. Firman Allah: "Allah, tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup lagi berdiri dengan Sendiri..." [Surah Al-Baqarah: 255]

3. Selawat:

اللهم صلى على محمد اذي خلقت من نوره كل شئ


"Ya Allah Ya Tuhanku, selawatlah ke atas Nabi Muhammad yang telah Engkau ciptakan dari nurnya segala sesuatu."

Segala sesuatu di sini termasuklah Nabi Adam a.s., Iblis, kera dan juga babi. Adakah seorang yang berakal akan mengatakan semua ini diciptakan daripada nur Muhammad? Syaitan sendiri mengenali kejadiannya dan kejadian Adam, ketika ia mengucapkan: "...saya adalah lebih baik darinya. Saya ciptakan dari api, sedangkan ia (Nabi Adam a.s) diciptakan dari tanah." [Surah Al-A'raf: 12]

4. Selawat

الصلاة والسلام عليك يا رسول الله ضاقت حيلتي فأدركنى يا حبيب الله

"Selawat dan salam ke atas engkau wahai Rasulullah. Segala helahku telah habis, maka kerana itu tolonglah aku wahai kekasih Allah."

Bahagian pertama selawat ini adalah benar, tetapi bahagian yang kedua begitu merbahaya dan mengandungi unsur syirik. Ini juga bercanggah dengan firman Allah S.W.T: "Atau siapakah yang memperkenankan doa yang menderita, apabila ia berdoa kepadanya ada yang menghapuskan kesusahan..." [Surah Al-An'aam: 17]

Rasulullah s.a.w. sendiri apabila ditimpa kesedihan dan kesakitan membaca: "Wahai Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri dengan sendiri, dengan rahmat Engkau, aku memohon pertolonganku." [HR. Tirmizi]

5. Selawat Fatih:


اللهم صلى على محمد الفاتح لما أغلق والخاتم

"Ya Allah ya Tuhanku selawatlah ke atas Muhammad pembuka sesuatu yang tertutup."

Pereka selawat ini menganggap membacanya adalah lebih afdhal dari membaca Al-Quran sebanyak 6000 kali. Selawat ini dinakalkan dari syeikh at-Tijani pemimpin tarekat Tijaniyyah. Adalah suatu kebodohan bagi seorang yang berakal, lebih-lebih lagi seorang Islam mengiktikadkan membaca selawat yang bid'ah ini adalah lebih utama dari membaca KalamulLah sekali, apalagi kalau melibatkan 6000 kali. Iktikad seperti ini tidak pernah diperkatakan oleh mana-mana orang Islam.

Mensifatkan Rasulullah s.a.w. sebagai pembuka segala yang tertutup secara mutlak tanpa mengikatnya dengan nama Allah adalah suatu kesalahan, kerana Rasulullah s.a.w. tidak membuka kota Mekah kecuali dengan sizin Allah S.W.T. Rasulullah s.a.w. tidak mampu membuka mata hati bapa saudaranya supaya beriman kepada Allah S.W.T bahkan bapa saudara baginda, Abu Thalib meninggal dalam keadaan syirik. Firman Allah: "Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi, supaya ia menerima Islam, tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNYa." [Surah Al-Qashash: 56]

*Di ambil dari buku "Salah Faham Terhadap Konsep Ibadah, Ilmu & Zikir." Oleh Basri Ibrahim Al-Azhari, Al-Hidayah, halaman 79 - 83.

Monday, June 2, 2008

KISAH DAJJAL (bhgn 2)

Fitnah Dajjal

Sabda Rasulullah s.a.w: "Dan di antara fitnahnya iaitu fitnah dajjal ialah ia akan berkata kepada orang-orang Arab kampung, 'Bagaimana pendapatmu jika aku membangkitkan ayahmu dan ibumu, apakah kamu mahu bersaksi bahawa aku adalah Tuhanmu?' Dia manjawab: 'Ya.' Kemudian dua syaitan yang menyerupakan diri dengan ayahnya dan ibunya, lantas keduanya berkata: 'Wahai anakku, ikutilah dia sesungguhnya dia adalah Tuhanmu." (HR Ibn Majah)

Dajjal adalah pembawa fitnah yang paling besar di antara fitnah-fitnah yang ada sejak Allah menciptakan Adam hingalah ke hari kiamat. Antara fitnahnya lagi ialah dajjal memiliki syurga dan neraka padahal hakikatnya syurga tersebut adalah neraka dan neraka itu adalah syurga. Dajjal mempunyai sungai-sungai air dan gunung-gunung roti. Dia memerintahkan langit untuk menurunkan hujan lantas turunlah hujan tersebut. Dia memerintahkan bumi menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dengan segala hasilnya. Dia dapat melintasi bumi dari satu tempat ke tempat lain dengan sepantas yang luar biasa bagaikan hujan yang ditiup angin kencang. [Peristiwa menjelang kiamat Tanda-tanda Besar, Yusuf bin Abdullah bin Yusuf Al-Wabil Ma,hlm 83,Al-Hidayah]

Dalam hadis Nawwas bin Sam'an r.a. bahawa para sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai dajjal: "Wahai Rasulullah, berapa lamakah ia tinggal di bumi?" Baginda menjawab: "Selama empat puluh hari, sehari seperti setahun, sehari lagi seperti sebulan, dan sehari lagi seperti sejumaat dan hari-hari lainnya seperti hari-harimu (seperti biasa)." Mereka bertanya: "Bagaimanakah kecepatan bumi?" Baginda menjawab: "Seperti hujan ditiup angin kencang." Lalu ia mendatangi suatu kaum dan diajaknya kaum itu,kemudian mereka mempercayainya dan memenuhi seruannya. [HR Muslim]

Perlindungan dari Fitnah Dajjal

Nabi-nabi sekaliannya telah memperingatkan umatnya akan fitnah-fitnah dajjal. Telah disampaikan kepada kita bagaimana ciri-ciri dajjal dan fitnah-fintah yang dibawanya adalah untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. ini sentiasa waspada terhadap dajjal kerana munculnya dajjal ini adalah pada zaman umat Nabi Muhammad s.a.w. kerana nabi Muhammad adalah penutup para Nabi. Hendaklah kita memohon perlindungan daripada Allah dari fitnah dajjal ini. Cara-cara memohon perlindungan adalah:

1. Berpegang teguh dengan agama Islam dan bersenjatakan iman dan mengenal nama-nama dan sifat-sifat Allah yang tidak bersekutu padanya dengan seorangpun sehinggalah ia mengetahui bahawa Dajjal adalah makhluk biasa yang makan dan minum sedangkan Allah maha suci dari semua itu.

2. Memohon perlindungan ketika tahiyyat terakhir sebelum salam dengan membaca doa berikut:


اللَّهُمَّ اِنِّيْ اَعُوْذُبِكَ مِنْ عَذَاْبِ جَهَنَّمْ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاْتِ ومِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّال

"Ya Allah, aku memohon perlindungan dari azab jahannam dan dari azab kubur dan dari fitnah hidup dan mati dan dari seburuk-buruk fitnah al-Masih ad-Dajjal." [HR Muslim dari Abu Hurairah r.a.]

3. Menghafal atau membaca 10 ayat awal surah al-Kahfi atau 10 ayat terakhir surah al-Kahfi. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim kitab al-Fitan, Bab Zikr ad-Dajjal. Antara keistimewaan surah al-Kahfi adalah sebagaimana sabda Nabi s.a.w. daripada Abi Sa'id al-Khudri r.a: "Sesungguhnya orang yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat maka diberi cahaya untuknya di antara dua Jumaat (jumaat ini dan jumaat depan)." [Hadis riwayat al-Hakim, Disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih Jami' Shaghir]

4. Jika telah muncul Dajjal, hendaklah ia bersembunyi dan adalah lebih baik menetap di Mekah dan Madinah kerana Dajjal tidak akan dapat memasuki Kota ini dan Masjid-masjid yang telah di sebutkan sebelum ini [rujuk bhgn 1]. Sabda Nabi: "Barang siapa mendengar ada Dajjal maka hendaklah ia bersembunyi darinya. Demi Allah ada seseorang yang mendatanginya dan dia mengira bahawa ia beriman lantas dia mengikutinya kerana banyak syubhat atau kesamaran yang menyertainya." [HR Ahmad, Abu Daud dan Hakim]

Matinya Dajjal

Matinya Dajjal adalah ditangan Nabi Isa 'Alaihissalam. Ketika Nabi Isa turun, sedang Dajjal ketika itu berada di sekitar Baitul Maqdis kemudian Nabi Isa bertemu dengannya di pintu Lud (menurut pendapat: nama tempat yang berada di lapangan terbang di israel sekarang). Pada waktu Dajjal melihat Isa, lantas Isa menjadi cair seperti garam yang larut di dalam air, kemudian berkata kepada Dajjal: "Saya akan memukul engkau dan engkau tidak akan dapat lari dariku." Kemudian Isa mengejarnya dan membunuhnya lantas berlarian pengikut-pengikut Dajjal kerana dikejar oleh orang-orang mukmin sehingga pokok-pokok ketika itu berbicara: "Wahai orang muslim, wahai hamba Allah! ini dia orang yahudi di belakangku! Kemarilah bunuhlah dia!" [Kisah ini ada di dalam An-Nihayah fil-Fitan Wal Malahim juga sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad; Rujuk Peristiwa Menjelang Kiamat, hlm 110-114]

Dengan Matinya Dajjal, maka berakhirlah fitnah terbesar itu dan Allah menyelamatkan orang-orang beriman.

UCAPAN TERLARANG

Oleh Ustaz Abu Rubayyi'


Sabda Rasulullah S.A.W:

إن العبد ليتكلم بالكلمة من رضوان الله لا يلقي لها بالاً يرفعه الله بها درجات ، وإن العبد ليتكلم بالكلمة من سخط الله لا يلقي لها بالاً ، يهوي بها في نار جهنم

Maksudnya: "Sesungguhnya seorang hamba akan bercakap dengan satu kalimah yang diredhai Allah sedang dia tidak memberi perhatian bahawa kalimah itu diredhai Allah lalu Allah mengangkatnya beberapa darajat, dan sesungguhnya seorang hamba apabila bercakap dengan kalimah yang dimurkai Allah sedang dia tidak peduli akan apa yang dia cakapkan maka Allah masukkan dia ke dalam neraka Jahannam". [al-Bukhari&Muslim]


Hadis ini jelas menunjukkan bahawa setiap ucapan dan kalimah yang keluar dari mulut kita ada nilainya di sisi Allah sama ada dosa atau pahala. Namun, masyarakat kita hari ini lupa akan perkara ini dan selalu menuturkan perkataan yang dianggap biasa tetapi sebenarnya besar di sisi Allah S.W.T.

Di sini akan dipaparkan beberapa perkataan yang sering disebut tetapi terlarang dalam agama:


· Sobahal Khair, Masa-al Khair (Selamat Pagi, Selamat Petang)

Ucapan ini adalah menyalahi syariat kerana ia merupakan ucapan selamat orang-orang kafir dan berasal daripada Majusi yang beriktikad ada dua Tuhan, Baik (Cahaya) dan Buruk (Gelap). Sebetulnya hendaklah kaum muslimin menyebarkan salam yang menjadi syiar mereka. Kemudian jika hendak ucapkan juga ucapan selamat yang lain sebutlah 'Sobbahakallah bi Khair' atau 'Massakallah bi Khair' (Semoga Allah memperelokkan pagimu atau petangmu).


· 'Sodaqta wa Bararta'

Ucapan 'Sodaqta wa Bararta' sewaktu muazzin menyebut 'as-solatu kahirun minan naum' dalam azan fajar adalah bidaah kerana dalilnya dho'if (lemah). Sebetulnya ucaplah seperti ucapan muazzin.


· Lafaz Takbir (Allahu Akbar)

Kesalahan menyebut Takbir seperti memangjangkan hamzah wasal sehingga menjadi AAAAAlllahu Akbar atau panjang pada ba' Akbaaar atau menukar baris 'ikbar'. Lafaz ini jika dibuat dengan sengaja dan penuturnya faham maksudnya dan tahu haramnya maka dia 'kufur' kerana apabila dipanjangkan hamzah wasal ia bermakna: 'Adakah Allah itu Maha Besar?' ini membawa syak pada Allah dan syak pada Allah itu kufur. Memangjangkan ba membawa makna Allah adalah gendang besar dan ini jelas kufur menyamakan tuhan dengan makhluk dan menukar baris akbar kepada ikbar bermakna Allah adalah darah haidh dan ini sangat kufur dan jelek.


· Mengeluh

Dimakruhkan mengeluh dan meninggalkan zikir ketika sakit kerana menunjukkan tidak sabar. Adapun mengeluh yang sedikit tidak mengapa. An-Nawawi R.H menyatakan menjadi makruhnya mengeluh apabila dilebihkan atas zikir Allah.


· Asy-Syahid

Menggelar seseorang dengan asy-Syahid kecuali yang telah dipastikan dengan wahyu. Ini kerana mengikut aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah kita tidak menentukan seseorang itu sebagai ahli syurga atau neraka kecuali tsabit dengan nas. Menyatakan seseorang sebagai Syahid maka dia memastikan seseorang itu ahli syurga sedangkan wahyu telah pun putus. Walaupun seseorang itu mati dalam medan jihad tidak digelar dengan as-Syahid kerana kita tidak tahu apa yang diniatkannya untuk berjihad. Demikian juga tidak warid perbuatan ini dari as-Salaf as-Soleh. Mereka tidak pernah menyebeut 'as-Syahid Umar', as-Syahid Hamzah' dan seumpamanya. Maka hendaklah dijauhi ucapan seperti 'as-Syahid Hasan al-Banna', 'as-Syahid Syed Qutb' dan sebagainya.


· Syeikhul Islam

Lafaz Syeikhul Islam adalah gelaran bagi para 'alim ulama' as-Salaf as-Soleh yang diyakini dan diiktiraf keilmuan dan kewarakannya. Antara yang paling masyhur digunakan gelaran ini adalah Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah hingga apabila disebut semata-mata Syeikhul Islam maka dikenal yang dimaksudkan adalah Imam Ibn Taimiyyah. Abu Bakar dan Umar R.Hma adalah yang mula-mula digelar Syeikhul Islam oleh Ali bin Abi Talib R.A. Namun, gelaran ini sekarang diberi sewenang-wenangnya kepada para mufti berdasarkan jawatan yang dipegang semata-mata walaupun kekadang dalam zaman kita ini orang yang paling bodoh di zaman itu adalah muftinya. Nauzubillah min zalik.


· Al-Qadim

Al-Qadim bukanlah nama-nama Allah yang baik dan tidak boleh dinamakan Allah dengannya. Adapun dalam masalah ikhbar atau sifat maka dijauhi penggunaannya lebih baik tetapi jika digunakan hendaklah maksudnya bermanka 'al-Awwal' iaitulah tidak ada pendahulu bagi Allah. Menamakan manusia dengan Abdul Qadim adalah salah.


· Qutb, Ghaus, Nujaba'

Ini adalah istilah sufi yang keji mereka menamakan wali mereka dengan nama-nama ini sebagai Tuhan selain Allah. Wali Qutb, Ghaus dan sebagainya dikatakan menurut iktiqad para sufi adalah manusia yang mencapai darjat ketuhanan dan mengatur pentdbiran alam ini.Nauzubillah min zalik.


· 'Bukan Islam', Seks Luar Nikah, Minuman Keras, Faedah Bank

Ucapan-ucapan ini adalah keji di sisi Allah S.W.T kerana cuba menukar istilah syar'i kepada istilah baru. Mereka menganggap apabila menggunakan istilah syar'i iaitu 'Kafir', Zina, Arak (Khamar) dan Riba sebagai lambang ekstrim dan melampau. Ini adalah satu perasaan syirik iaitu memandang hina istilah yang digunakan Allah dan Rasul-Nya S.A.W. Begitu juga Istilah Haidh ditukar kepada 'Period' atau 'Datang Bulan'. Yang sebenarnya hendaklah menggunakan istilah yang syar'i bagi perkara-perkara syarak.


· Abdul Muttalib

Menamakan anak dengan Abdul Muttalib adalah salah kerana semua nama yang bermakna hamba hendaklah diidhafahkan pada al-Asma' al-Husna. Dan semulia-mulia nama adalah Abdullah dan Abdul Rahman. Adapun Abdul Muttalib (Hamba kepada al-Muttalib) merupakan pengabdian nama kepada selain Allah. Adapun nama ini adalah nama datuk Rasulullah S.A.W tidak menjadi hujjah harusnya kerana datuk Rasulullah itu meninggal dalam zaman Jahiliyyah sebelum Rasulullah diutuskan lagi.


· Menamakan dengan nama-nama barat

Telah menjadi satu musibah atas kebodohan dan kedunguan umat Islam pada hari ini menamakan diri dan anak-anak mereka dengan nama kafir seperti Suzan, Elizabeth, Liza, Abraham, Roy dan sebagainya. Jika perbuatan ini semata-mata atas kebodohan dan taklid buta maka ia adalah maksiat dan jika kerana menganggap nama-nama ini lebih baik daripada nama-nama Islam maka ini menjejaskan Iman. Perbuatan ini termasuk Tasyabbuh (meniru) budaya orang kafir yang asal hukumnya adalah haram dan membawa kekufuran. Nauzubillah min zalik.


· Sayyid

Menggunakan lafaz Sayyid terhadap Rasulullah S.A.W dalam Tasyahhud dan Syahadah adalah salah. Begitu juga dalam Selawat yang lafaznya warid dari baginda. Tetapi menggunakan sayyid untuk baginda di luar solat dan diluar tsayahhdu dan sayahadat serta selawat yang lafaznya tidak warid maka diharuskan. Menggunakan sayyid untuk sahabat baginda adalah tsabit dalam hadis al-Bukhari kata-kata Umar R.A: "Abu Bakar Sayyiduna (Ketua kita) dan pembebas Sayyiduna –yakni Bilal-". Maka Saidina Umar menggunakan lafaz Sayyid (Saidina) kepada Abu Bakar dan Bilal R.Hum.


· Qanun Syarak

Telah tersebra luas dalam kalangan pengamal undang-undang menggunakan istilah Qanun terhadap hukum Syariat Islam seperti disebut Qanun Jenayah Islam dan seumpamanya. Ini adalah salah kerana Qanun bermaksud undang-undang buatan manusia adapaun undang-undang Ilahi disebut Syariat. Maka tidak hairanlah jikalau pada hari ini undang-undang Islam kita tidak sama seperti dalam al-Quran dan as-Sunnah kerana ia adalah Islam buatan manusia bukan 'Islam' yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya.

Inilah sebahagian ucapan atau istilah perkataan yang terlarang yang dilihat tersebar dalam masyarakat kita. Mudah-mudahan kita lebih berhati-hati.


Sumber: Bakar Abu Zaid, as-Syeikh, Mukjam Manahi al-Lafziyah (Ensiklopedia Ucapan Terlarang), Maktabah as-Syamilah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails