Sabtu, 24 Mei 2008

Menilai Realiti: Siapa Kita?

Kita adalah Umat terbaik



Zaman kita semakin meningkat dewasa, masihkah kita ingin berfoya-foya? Sudahkah anda berfikir sejenak bahawa apakah kita semua hidup kekal di dunia? Sudah tentu tidak. Malah nikmat hidup bila-bila boleh ditarik oleh yang Maha Kuasa. Di kesempatan ini, saya ingin mengajak kepada rakan-rakan untuk merenung akan kehidupan kita sebagai seorang muslim yang senantiasa berharap akan kebaikan dalam kehidupannya dan mengharap balasan pahala serta syurga di akhirat sana.


Kehidupan hari ini masing-masing hendak mencari suatu kumpulan, badan-badan, persatuan, atau lebih khusus lagi satu jamaah yang akan membimbing kehidupannya agar tidak sia-sia di dunia maupun akhirat. Pada hari ini ada macam-macam jamaah yang tidak perlu saya sebutkan ia satu-persatu. Masing-masing ada matlamat dan tujuannya yang sama iaitu kembali kepada islam yang sebenar. Akan tetapi apa yang dimaksudkan dengan jamaah itu sendiri? Perkara ini akan saya sentuh pada akhir risalah ini. Insyallah.


Sudahkah kita mengambil manfaat daripada Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah…” (Ali Imran: 110) Kita adalah ummat yang khair iaitu baik, bukan sahaja baik malah terbaik antara umat-umat yang pernah ada. Akan tetapi 3 syarat untuk menjadi umat yang terbaik iaitu hendaklah menyuruh kepada perkara yang makruf, mencegah perbuatan mungkar, dan beriman kepada Allah. Adakah kita benar-benar telah memahami ayat ini? Mari kita perincikan.



Menyuruh kepada perkara yang Makruf



Apakah yang dimaksudkan dengan makruf? al-Makruf adalah nama yang mencakupi semua yang dicintai dan diredhai Allah, baik perkataan, maupun perbuatan lahir dan batin. Ia juga merangkumi ibadat dan tauhid. Jadi, amar makruf adalah menyuruh orang kepada kebaikan, baik dengan tangannya, dengan lisan dan akhir sekali adalah dengan hati. Sebagai contoh, kita menyuruh rakan-rakan agar menunaikan solat jemaah di masjid, membawa dia ke majlis-majlis ilmu, dan mengajak dia membuat perkara yang berfaedah pada hidupnya di dunia yang membuahkan hasil di negeri akhirat.


Taukah anda apakah syarat penerimaan perkara makruf? Pertama: Beragama islam (beraqidah yang sahih), Kedua: Mestilah ikhlas hanya kerana Allah, dan ketiga: Mestilah tatacara tersebut mengikuti kehendak syarak dengan kata lain dengan mengikut petunjuk Nabi s.a.w. Jika seseorang yang bukan beragama Islam melakukan solat, maka solatnya tidak akan diterima. Jika seseorang itu islam, mematuhi kehendak syariat dengan mengikuti petunjuk Nabi s.a.w. akan tetapi niatnya adalah bukan kerana Allah, maka ia tidak akan diterima (sia-sia). Dan jika seseorang itu beragama islam, niatnya ikhlas kerana Allah, tetapi tidak mengikuti kehendak syarak, maka ia juga tertolak. Sebagai contoh pada situasi ketiga ini, suatu hari seorang hamba Allah bangun pada subuh hari, dengan niatnya yang tulus ikhlas serta bersemangat sehingga dia melakukan solat subuh sebanyak 3 rakaat. Kerana niatnya yang ikhlas nan suci, ia berasa tidak cukup hanya 2 rakaat akan tetapi ditambahnya kepada 3 rakaat semata-mata untuk Tuhannya. Akan tetapi sayangnya ianya tidak diterima amalannya kerana tidak mengikuti petunjuk Nabi s.a.w. yang mengajar umatnya solat subuh dengan kadar 2 rakaat sahaja.


Perkara inilah yang kurang mendapat perhatian pada setiap muslim hari ini. Kerana banyaknya orang beribadat dengan ikhlas tetapi melupakan petunjuk Nabi s.a.w. Perkara agama bukan boleh direka-reka semata. Semuanya telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. dari bangun tidur sehinggalah ia tidur semula. Bukan sekadar pada perkara wajib, malah pada perkara sunat juga. Kerana Islam tidak hanya tertegak dengan perkara wajib. Malah perkara sunat, harus, makruh dan haram juga harus dipatuhi.


Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis 40 oleh Imam An-Nawawi, (no: 5) yang bermaksud: Dari Ummul mukminin, Ummu 'Abdillah, ‘Aisyah radhiallahu 'anha, ia berkata bahwa Rasulullah bersabda: “Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama kami ini yang bukan dari kami, maka dia tertolak". (Bukhari dan Muslim. Dalam riwayat Muslim : “Barangsiapa melakukan suatu amal (amalan agama) yang tiada daripada perintah kami, maka dia tertolak.” Untuk menjadi ummat yang terbaik, hendaklah kita mengajak kepada perkara makruf yang dipandu dengan petunjuk wahyu agar tidak terjadi rekaan di dalam agama. Firman Allah S.W.T dalam surah Ar-Rum ayat 30 yang bermaksud: “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang Telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidaklah patut ada sebarang perubahan (pada mentauhidkan Allah). (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”



Mencegah dari perbuatan Mungkar



Apakah pula itu perbuatan mungkar? Al-Munkar (kemungkaran) adalah nama yang mencakup semua yang dibenci dan tidak diredhai Allah, baik perkataan maupun perbuatan lahir dan batin. Ia juga merangkumi pada ibadat dan juga pada keyakinan yang boleh menyebabkan syirik kepada Allah S.W.T. Sudahkah kita mencegah manusia daripada melakukan perkara mungkar? Terkadang kita boleh lihat sahaja orang yang meninggalkan solat tanpa menegurnya. Rakan sesebelahan kita juga masih belum cukup sempurna pemakaiannya menurut kehendak syarak. Apakah kita pernah menegurnya atau membiarkan saja? Jika sudah alhamdulillah. Jika belum jinak-jinakkanlah dengan menghalusi perkataan kita agar dia tidak tersinggung dan terguris disebabkan perkataan kita yang kurang berhikmah.


Apakah yang dimaksudkan dengan perbuatan mungkar yang berkait dengan keyakinan? Ia sebenarnya berkait rapat dengan aqidah kita. Sudahkah kita mengenal Tuhan kita yang Maha Esa? Tuhan kita tidak dua, tidak tiga dan tidaklah lebih dari satu. Tuhan kita tidak seperti makhluknya dari segi sifat-sifat dan zatnya sendiri. Dia Maha Sempurna. Kita mentauhidkan Allah adalah dengan meyakini dialah sahaja tempat kita menyembah, mengadu, berharap, meminta tolong, dan meminta segala-galanya kerana dialah sahaja yang Maha Mendengar doa hamba-hambaNya. Firman Allah S.W.T yang kita ulangi sebanyak 17 kali sehari dalam surah al-Fatihah ayat ke 5 yang bermaksud: “Hanya padaMu kami menyembah dan hanya padaMu tempat kami meminta pertolongan.” Dan lagi firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 9 yang bermaksud: “(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu…” Begitu juga sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Jika engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dari Allah.” (HR Ahmad dan Tirmizi).


Pada hari ini, ramai orang islam yang menyembah selain dari Allah, meminta pertolongan selain dari Allah, memohon hajat selain daripada Allah. Mereka tersebut adalah golongan tarikat sufi yang sesat dan golongan-golongan pelampau ibadat sehingga sanggup ke kubur untuk berdoa meminta pada makhluk yang berada di dalam kubur tersebut. Inilah realitinya umat Islam hari ini. Ia benar-benar berlaku di negara kita begitu juga negara Islam yang lain seperti di negara Arab sana. Maka untuk menjadi ummat terbaik adalah tugas kita untuk mencegahnya. Jika tadi kita menyuruh kepada perkara makruf dibawah petunjuk wahyu, maka mencegah dari perkara mungkar juga hendaklah selari dengan tuntutan wahyu. Jika seseorang hendak membuat perkara makruf melebihi garis panduan wahyu, maka adalah tugas kita untuk mencegahnya dari perbuatan tersebut kerana perkara tersebut telah berubah menjadi mungkar disebabkan membuat sesuatu dalam urusan agama tanpa dibatasi dengan wahyu. Sesungguhnya agama islam telah lengkap sempurna, tidak ada tambahan dan tidak ada pengurangan. Firman Allah S.W.T: “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu.” (Al-Maidah: 3)



Beriman Kepada Allah



Untuk kita menjadi umat yang terbaik, perlulah terlebih dahulu kita beriman. Apakah itu iman? Iman ialah membenarkan dalam hati, mengungkapkan dengan lidah, dan membuktikan dengan amal. Tidak cukup hanya hati, tapi perlulah dilafazkan. Sebagai contoh bapa saudara Nabi, Abu Talib termasuk dalam ahli neraka kerana dia tidak mengucapkan dua kalimah syahadah walaupun dia telah berusaha membantu nabi dengan penuh kesungguhan, malah melebihi kesungguhan kita pada hari ini dalam melakukan kerja membantu nabi kita. Sungguhpun demikian, Abu Talib tidak dapat menjadi ahli syurga tetapi ia mendapat siksaan yang paling ringan atas doa Rasulullah s.a.w. ke atas beliau.


Makna Iman yang lebih khusus lagi adalah sepertimana diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang mana ketika Malaikat Jibril datang bertemu nabi s.a.w. dalam keadaan menyerupai seseorang yang memakai baju putih dan berambut hitam kemudian duduk berdepan dengan nabi s.a.w. kemudian menanyakan tentang Islam, Iman dan Ihsan. Ketika mana Jibril bertanya apakah itu Iman? Maka nabi menjawab: “Engkau beriman kepada Allah, kepada para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, kepada Rasul-rasulNya, kepada hari Kiamat dan kepada takdir yang baik maupun yang buruk.”


Tidak cukup hanya percaya Allah tanpa mempercayai adanya malaikat. Tidak cukup hanya mempercayai adanya malaikat tanpa mempercayai adanya kitab-kitab yang diturunkan kepada Rasul-rasulNya iaitu kitab zabur, taurat, injil dan Al-Quran ada pada kita hari ini. Keenam-enam rukun iman ini wajiblah kita imani dan percayai berdasarkan pengetahuan yang betul selari dengan petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah serta tafsiran para salafus soleh yang paling memahami akan isi kandungan kedua-duanya tersebut.


Kenapa saya katakana perlulah Al-Quran dan As-Sunnah diambil menurut fahaman salafus soleh? Kerana pada hari ini laungan kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah amat banyak daripada golongan-golongan islam sama ada yang benar maupun yang sesat. Yang sesat itu sepertimana golongan Islam liberal, golongan tarekat tasawwuf yang sesat, golongan ahlul kalam muktazilah dan lain-lain lagi. Mereka juga menggunakan Al-Quran dan As-Sunnah akan tetapi menurut fahaman mereka sendiri tanpa dirujuk pada tafsiran para ulama awal zaman seperti ulama empat mazhab, ulama hadis, dan berbagai-bagai lagi yang meniti jalan yang benar dalam mentafsirkan kedua-dua sumber tersebut.


Adalah tugas kita menjadi makin besar dalam mencapai ummat yang terbaik sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran itu tadi. Bukan mudah tetapi tidak membebankan kerana islam itu agama fitrah. Allah tidak akan membebankan hambanya dengan suatu bebanan yang tidak mampu ditanggung oleh hambanya. Firman Allah dalam ayat yang terakhir surah al-Baqarah: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma'aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir.” Segala kesilapan kita pasti akan diampunkannya dengan syarat hendaklah bertaubat kepadaNya. Bersegeralah sahut cabaran ini sebagai ummat terbaik dimuka bumi Allah S.W.T.



Kita Adalah Satu Jamaah



Sebagaimana yang kita maklumi pada hari ini banyak jamaah-jamaah atau badan-badan islam yang telah ditubuhkan. Kemudian ada juga beberapa jamaah yang menjadikan jamaahnya sebagai agama. Realitinya Jamaah dan kebanyakan pertubuhan hari ni kelihatan seakan-akan memecah-belahkan umat dan bukan menyatukan umat. Mereka selalunya menarik ahli jamaah baru untuk mengikuti jamaah mereka dengan mengemukakan dalil-dalil daripada Sunnah seperti sabda Rasulullah s.a.w: “Umatku akan berpecah kepada 73 puak, 72 daripadanya akan menuju ke neraka dan hanya satu daripadanya menuju ke syurga, iaitu al-Jamaah.” (HR Abu Daud, no: 442) Begitu juga dengan hadis yang berbunyi: “Sesungguhnya tangan Allah bersama al-Jamaah dan sesungguhnya syaitan berlari bersama orang yang memecah-belahkan al-Jamaah.” (HR Ibn Hibban, no: 4557)


Ini adalah salah satu kekeliruan dalam menafsirkan erti Jamaah. Sedangkan Ibn Mas’ud pernah berkata tentang al-Jamaah: “Sesungguhnya al-jamaah itu apa yang sesuai dengan ketaatan pada Allah walaupun engkau seorang.” (Syarh Usul Iktiqad Ahli Sunnah li Lalikaie) Manakala Rasullah sendiri ketika ditanya seperti hadis di atas dalam riwayat lain berbunyi: “Dan akan terpecah umatku menjadi 73 aliran (puak), semua mereka masuk neraka kecuali satu aliran. Para sahabat bertanya: Siapakah aliran itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan para sahabatku.” (HR Ibn Majah, no: 3993 dalam Sahih Sunan Ibn Majah)


Maka yang dimaksudkan al-Jamaah itu adalah mereka yang berpegang dengan pegangan Nabi Muhammad s.a.w. serta para Sahabatnya yang lebih dikenali dengan Salafus Soleh iaitu pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Firman Allah: “Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (Ar-Ruum: 31-32) Ayat ini melarang umat islam daripada berkeyakinan atau bertindak untuk memecah-belahkan agama islam dan membentuk golongan-golongan tertentu. Pada hari ini jamaah-jamaah yang dibentuk ada yang berkeyakinan bahawa jamaah yang dipimpin atau dianggotai adalah yang terbaik berbanding jamaah-jamaah yang lain, tidak terkesan apabila jamaah-jamaah lain dikritik tetapi menjadi amat marah jika jemaahnya dikritik tanpa mengira sama ada kritikan tersebut benar atau tidak. Mereka juga berasa gembira jika ahli jamaah mereka ramai, sebaliknya merasa kecewa jika ahli jamaah adalah sedikit apabila dibanding dengan jamaah-jamaah lain. Inilah antara contoh-contoh jamaah-jamaah yang menjadikan jamaahnya sebagai agama. Lebih lanjut tentang ciri-ciri jamaah yang menjadikan jamaahnya sebagai agama ini, sila rujuk buku “Himpunan Risalah Dalam Bebarapa Persoalan Ummah (Buku 5).” Penulisnya Hafiz Firdaus Abdullah pada halaman 123-125.


Sebuah hadis yang sangat menarik untuk dijadikan pedoman iaitu hadis daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. katanya: Manusia selalu bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang kebaikan tetapi aku selalu bertanya tentang keburukan kerana takut aku ditimpanya, maka aku berkata: Wahai Rasulullah, kami dulu berada pada zaman jahiliyyah dan keburukan lalu Allah datangkan kepada kami kebaikan ini (Islam) maka adakah lagi selepas ini keburukan? Jawab baginda: Ya. Aku bertanya lagi: Adakah selepas itu kebaikan pula? Jawab baginda: Ya, tetapi padanya ada debu. Kataku: Apakah debunya itu? Jawab baginda: Kaum yang memberi petunjuk bukan dengan petunjukku, kamu kenal dan kamu munkir (perbuatan mereka). Kataku: Apakah selepas itu keburukan pula? Jawab baginda : Ya, akan ada penyeru-penyeru di atas pintu neraka Jahannam, sesiapa yang mengikut mereka akan dilontar ke dalamnya (neraka). Kataku: Sifatkanlah mereka kepada kami. Jawab baginda: Mereka daripada kulit kita dan bercakap dengan bahasa kita (Islam). Kataku: Maka apakah pesanmu jika aku mendapati keadaan itu? Jawab baginda: Hendaklah kamu mengikut Jamaah kaum muslimin dan pemimpin mereka. Kataku: Jika tiada Jamaah dan Imam? Kata baginda: "Maka jauhilah semua puak-puak yang ada walaupun engkau terpaksa menggigit akar kayu dan engkau mati dalam keadaan itu." (HR Bukhari dan Muslim)


Jikalau kita berseorangan sekali pun, maka kita juga termasuk ke dalam kelompok al-jamaah kerana pegangannya disandari dengan fahaman para salafus soleh. Membentuk pertubuhan tidak salah tapi mestilah berpaksi pada 3 perkara iaitu al-Quran, as-Sunnah dan Salafus Soleh (jejak sahabat dalam beragama). Oleh itu, berdasarkan hadis nabi di atas jelaslah Nabi s.a.w menyuruh kita menjauhi mana-mana pertubuhan yang mendakwa dirinya al-Jamaah tetapi tidak mengikut jalan salafus soleh (sahabat). Keadaan ini banyak sekali berlaku pada pertubuhan yang wujud sekarang, maka eloklah kita berhati-hati dan hidup sendirian dengan melazimi ahli sunnah itu lebih baik daripada kita mengikuti pertubuhan yang disangka Islam akhirnya menjerumus kita ke lembah derhaka terhadap Allah dan Rasul-Nya.


Saya tidak ingin lagi menyambung kalam, akhir kata saya ingin bawakan suatu surah yang mana Imam Syafi’i pernah berkata: “Sekiranya Allah tidak menurunkan hujah kepada hamba-hambaNya kecuali surah ini, nescaya surah ini sudah memadai bagi mereka.” Surah ini sering dibaca ketika mana setelah selesai majlis iaitu surah Al-‘Asr. Firman Allah: “Demi masa, sesungguhnya manusia di dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.” Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang rugi pelajarilah ilmu-ilmu Allah dengan penuh kesungguhan, Insyallah Allah akan beri kefahaman tentang agamanya sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Dia akan memberinya kefahaman dalam agama.” (HR Bukhari)



Sekian, semoga Allah menambah ilmu pada insan yang sabar membaca risalah ini...

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...