Tuesday, May 13, 2008

Jual Beli Terlarang

فقه المعاملات المالية

Oleh Ustaz Abu Rubayyi'

Haram dan Tidak Sah


1- Jual Beli Barang yang Belum Pasti

Jual Beli barang yang belum pasti dapat diserahkan tidak sah kerana menyalahi syarat

Dan rukun jual beli. Antara bentuknya adalah:


a) Susu yang belum diperah

b) Bulu Haiwan yang belum dipotong

c) Buah-buahan sebelum masak dan nyata eloknya.


Dalilnya adalah riwayat ad-Daruqatni (no.42):

نهى رسول الله صلى الله عليه و سلم أن تباع ثمرة حتى يطعم أو صوف على ظهر أو لبن في ضرع أو سمن في لبن


Maksudnya: "Rasulullah S.A.W melarang dijual buah sebelum masak atau bulu di badan haiwan atau susu dalam kantung (belum diperah) atau keju masih dalam bentuk susu"-[hadis ini mauquf pada Ibn Abbas.Sanadnya Jayyid].


Daripada Ibn Umar R.Hma katanya:


أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الثِّمَارِ حَتَّى يَبْدُوَ صَلَاحُهَا نَهَى الْبَائِعَ وَالْمُبْتَاعَ


Maksudnya: "Bahawa Rasulullah S.A.W melarang menjual buah-buahan sehinggalah nampak eloknya baginda melarang penjual dan pembeli".[al-Bukhari&Muslim]

'Illah larangan adalah kerana terdapatnya gharar yang banyak dalam jual beli sebegini dan peratus berlakunya penipuan sangat tinggi.

Tetapi jika jual beli itu buah yang belum masak yang telah dipetik dan bermanfaat atau memang pembeli hendak membeli buah yang belum masak maka diharuskan. Diqiaskan hukum buah-buahan itu atas tanaman seluruhnya seperti ubi dalam tanah.


2- Jual Beli yang ada unsur Qimar (judi)


Iaitulah segala jenis jual beli yang menafikan hak salah seorang aqidain atau majhul barang atau harga yang membawa kepada kerugian di satu pihak dan untung di satu pihak. Antara contohnya ialah jula beli mulamasah iaitulah seperti penjual kain melonggokka kainnya kemudian memanggil orang berebut-rebut mengambil kain itu. Siapa yang dapat memegang kain maka kain yang dipegang akan dijual kepadanya. Begitu juga munabazah iaitu dengan cara penjual melontar barang kepada pembeli sesiapa yang dapat menyambut maka dijual kepadanya. Ini berdasarkan hadis:


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْمُلَامَسَةِ وَالْمُنَابَذَةِ


Maksudnya: "Daripada Abu Hurairah R.A katanya: Rasulullah S.A.W melarang dari jual beli mulamasah dan munabazah...-[al-Bukhari&Muslim]

Juga sabda Nabi S.A.W:


عن أبي هريرة قال :نهى رسول الله صلى الله عليه و سلم عن بيع الحصاة وعن بيع الغرر


Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A katanya: "Rasulullah S.A.W melarang jual beli anak-anak batu dan jual beli gharar".-[Muslim].


Maksud jual beli anak batu seperti dibaling anak batu atas barang maka yang kena itulah yang akan dijual. Demikian lagi seperti dikatanya aku jual tanah ini sejauh berhentinya anak-anak batu ini kerana majhul kadarnya, atau kata penjual engkau masih dalam khiar selama aku belum baling batu ini atau dia berkata jika aku baling barang ini bersama dengannya batu maka inilah barang yang akan dijual.


Jual beli seperti ini mempunyai gharar (penipuan).


3- Dua kontrak dalam satu (2 in 1)


Daripada Abu Hurairah R.A:


نَهَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعَتَيْنِ فِي بَيْعَةٍ .


Maksudnya: "Nabi S.A.W melarang dua kontrak dalam satu" –[Ahmad,at-Tirmizi,an-Nasai].


Antara contoh jual beli ini adalah menjual barang dengan harga 1000 jika tunai misalnya dan 2000 jika beransur-ansur tetapi tidak ditetapkan jenis yang mana dipilih sewaktu aqad. Demikian jugak seperti menjual rumah dengan syarat pembeli menjual pula padanya keretanya. Apabila masing-masing qabadh barang masing-masing maka berlakulah jual beli.


Jual Beli ini akan dibincang secara khusus nanti insya-Allah.


4- Bai' al-'Arbun (Jual Beli Cengkeram)


Iaitulah apabila seseorang membayar wang muka kemudian apabila pembeli tidak jadi membeli maka wang muka dikira hangus.


Kata Abdullah bin 'Amru bin Al-'Ash R.Hma:


نهى رسول الله صلى الله عليه و سلم عن بيع العربان


Maksudnya: "Rasulullah S.A.W melarang jual beli 'Arban"-[Abu Daud, Malik dalam Muwattha'].


Tetapi jika penjual tidak mensyaratkan wang cengkeram hangus jika kontrak terbatal maka sah jual beli ini dan penjual perlu kembalikan wang muka kepada pembeli jika kontrak dibatalkan.


Namun, Imam Ahmad membolehkan jual beli ini kerana mendha'ifkan hadis ini dan berhujjah dengan hadis:


عَنْ زَيْدِ بْنِ أَسْلَمَ { أَنَّهُ سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْعُرْبَانِ فِي الْبَيْعِ فَأَحَلَّهُ } .


Maksudnya: Daripada Zaid bin Aslam bahawa ditanya Rasulullah S.A.W tentang 'Arban lalu baginda menghalalkannya-[Musannaf Abdul Razak].


Hadis ini juga dha'if. Maka hadis Abu Daud lebih utama diamalkan kerana lebih sesuai dengan prinsip jual beli Islam dan hadis itu dikeluarkan Malik dalam Muwattha'. Ia juga dikeluarkan oleh Ibn Majah dengan beberapa sanad yang dha'if. Berbilangnya sanad yang dhaif menjadikannya meningkat kepada hasan li gahirih. As-Syaukani mengautkan pendapat Jumhur dalam Nail al-Author demikian juga al-Azhim al-Abadi dalam Aunul Makbud. Ibn Abdil Barr menyebut bahawa hadis Abdul Razak adalah tidak sah.


5- Jual Hutang dengan Hutang


Contohnya: Si B berhutang dengan si A dalam masa yang sama si A berhutang dengan si C. Kemudian si A menjual hutangnya kepada si C (bermakna B perlu bayar hutangnya dengan A kepada C). Demikian lagi bentuknya adalah A menjual barang secara tunai kepada B kemudian sampai masanya A gagal menyerahkan barang lalu dia memohon B menjual semula barang itu kepadanya dengan beransur-ansur. Atau Zaid menjual hutangnya kepada Abu dengan harganya adalah hutangnya pada Ahmad.


عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا { أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْكَالِئِ بِالْكَالِئِ يَعْنِي الدَّيْنَ بِالدَّيْنِ


Maksudnya: Daripada Ibn Umar R.Hma: Bahawasanya Nabi S.A.W melarang Kali' dengan kali' yakni dain dengan dain.- Riwayat Al-Baihaqi,Al-Bazzar dan Al-Hakim dengan sanad yang dha'if.


Tetapi Ulama' telah ijmak akan haramnya kerana mengandungi makna dua kontrak dalam 1 dan jual dan hutang dalam satu masa.


Jika dia menjual hutangnya kepada orang lain dengan harganya hutangnya pada orang lain maka ini juga batil. Yang dibolehkan jika dia menjual hutangnya kepada orang lain dengan dibayar barang yang lain atau harga lain.


6- Jual Barang sebelum serah terima


Tidak boleh kita menjual barang yang kita beli sebelum diterima barang tersebut atas dalil:


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ ابْتَاعَ طَعَامًا فَلَا يَبِعْهُ حَتَّى يَسْتَوْفِيَهُ


Maksudnya: "Daripada Abdullah bin Umar R.Hma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesiapa membeli makanan maka janganlah dijualnya sebelumnya dia menerimanya"-[al-Bukhari].


Maka diqiaskan makanan itu atas segala mabi' kerana 'illahnya sama iaitulah jual beli barang yang tidak mampu diserahkan.


Jika dijual semula kepada penjual maka harus dengan syarat dengan harga yang sama.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails