Jumaat, 21 September 2007

RISALAH ZIKIR SETELAH SOLAT


Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, Selawat dan salam disampaikan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarga serta sahabat-sahabat baginda.

Sebagaimana yang kita ketahui cara-cara berzikir setelah solat adalah dilakukan secara serentak (berjemaah) dan dibaca secara kuat oleh imam dan juga makmum sebagaimana yang telah biasa dan tersebar luas cara ini di Negara kita Malaysia. Dalam risalah ini ingin dijelaskan secara ringkas beserta dalil-dalil dalam al-Quran dan Hadis yang sahih untuk menentukan sejauh mana kebenaran amalan tersebut dilakukan.

Doa merupakan satu ibadat yang amat dituntut. Firman Allah SWT dalam surah al-Mu’min, ayat 60 berbunyi:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam Keadaan hina dina".

Berdoa dan berzikir dengan cara perlahan

Bagaimanakah pula cara berdoa tersebut? Maka dengan itu, perhatikanlah ayat al-Quran di bawah dengan FirmanNya:

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآَصَالِ وَلَا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ

Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari orang yang lalai. [Surah al-A’raaf, ayat 205]

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. [Surah al-A’raaf, ayat 55]


قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَلِكَ سَبِيلًا


Katakanlah: "Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. dengan nama yang mana saja kamu seru, Dia mempunyai Al asmaaul husna (nama-nama yang terbaik) dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam shalatmu dan janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah di antara kedua itu". [Surah al-Israa’, ayat 110]

Sebagaimana yang dapat diambil dari dalil-dalil di atas ia menunjukkan bahawa sesuatu zikir atau doa itu dibaca dengan cara perlahan. Manakala dalam surah al-Israa’ pila digariskan cara berzikir diantara kuat dan perlahan iaitu secara sederhana. Maka dengan itu, bagaimanakah dengan masyarakat sekarang yang selalunya berzikir bukan sekadar kuat malah ditambah lagi dengan alat pembesar suara? Tentu sekali ia bercanggah dengan ayat-ayat di atas.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim [no: 2704]: Abu Musa al-Anshari radiallahu anhu berkata: “Kami pernah bersama-sama Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam satu ekspedisi apabila ada beberapa orang yang menyebut ‘Allahu Akbar’ dengan suara yang kuat.

Mendengar itu, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menegur mereka dengan berkata: “Wahai manusia! Kasihanilah diri kamu! Kerana bukanlah kamu menyeru kepada yang pekak lagi jauh. Sesungguhnya kamu (sedang) menyeru kepada Dzat Maha Mendengar lagi dekat bersama kamu”.

Walaubagaimanapun terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari daripada Ibnu Abbas: “Bahawasanya mengangkat suara dengan zikir sewaktu orang ramai selesai dari solat fardhu adalah dilakukan pada zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam”. Berkata Ibnu Abbas lagi: “Aku mengetahui setelah mereka selesai mengerjakan solat fardhu itu apabila aku mendengar”.

Hadis ini sebenarnya menerangkan bahawa tidaklah salah jika zikir tersebut dijaharkan (dikuatkan) tetapi hanyalah sekadar untuk mengajar makmum yang tidak mengetahui zikir-zikir setelah solat. Hal ini telah dijelaskan oleh imam asy-Syafie dengan katanya: “Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka mengisrarkan (memperlahankan) zikir kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya, maka ketika itu dijaharkan zikir. Sehinggalah apabila didapati telah dipelajari daripadanya, maka sesudah itu hendaklah ia perlahankan (semula). [kitab al-Umm, jilid 1 ms 353, dinukil daripada majalah i dalam artikel ‘sanggahan terhadap berzikir beramai-ramai tak salah’, keluaran Feb 2007, ms 76]

Zikir yang dilakukan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam adalah secara perlahan dan terkadang dijaharkan dengan tidak ditetapkan cara perlaksanaan ini. Ini sebagaimana dalam hadis daripada Ummu Salamah: “Adalah Rasulullah apabila telah memberi salam, bangunlah para wanita di kala Nabi selesai memberi salam itu. Sedang nabi duduk sejenak di tempatnya sebelum berdiri. Kami berfikir nabi berbuat demikian untuk memberi kesempatan kepada wanita keluar lebih dahulu agar tidak berdesakan dengan para lelaki.” [Hadis riwayat Ahmad dan Bukhari; al-Muntaqa 1:473]

Hadis ini menunjukkan nabi tidak menjaharkan zikirnya pada waktu tersebut. Sebaliknya diisrarkan (diperlahankan) sambil menunggu wanita keluar dari tempat solat mereka. Imam Syafie menjelaskan lagi: “jika seseorang berkata: seperti apa? (yakni apakah contoh yang baginda lakukan hanya seketika kemudian setelah oarang ramai mempelajarinya, Baginda tinggalkan) Aku katakan: Seperti mana Baginda pernah bersolat di atas mimbar, yang mana Baginda berdiri dan ruku’ di atasnya, kemudian Baginda undur ke belakang untuk sujud di atas tanah.”

Padahal selalunya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersolat di atas tanah sahaja. Tidak lain dan tidak bukan perbuatan itu adalah untuk mengajar sahaja dan bukanlah suatu bentuk ketetapan dan cara beribadat. Imam Syafie menjelaskan lagi: “Aku suka sekiranya imam berzikir nama Allah di tempat duduknya sedikit dengan kadar yang seketika sehingga kaum wanita pergi. Hal ini seperti yang dikatakan oleh Ummu Salamah. Kemudian Imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum daripada itu, atau duduk lebih lama daripada itu, tidak mengapa. Makmum pula boleh pergi setelah imam selesai memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan sehingga imam pergi, atau bersama imam, itu lebih aku sukai untuknya.” [rujuk kitab al-Umm bab kalam al-Imam wajulusihi ba’dassalam, dinukil daripada majalah i keluaran Feb 2007, ms 76 ]


Berdoa dan berzikir secara bersendirian

Tidak dijumpai dalil Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berdoa atau berzikir setelah solat fardhu secara berjemaah. Adalah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya secara bersendirian sahaja tanpa dibaca secara serentak zikir-zikir ataupun berdoa kemudian di aminkan oleh makmum.

Imam an-Nawawi berkata dalam hal ini: “Tidaklah ada khilaf tentang kesunnatan adanya zikir sesudah solat, bagi Imam, bagi makmum, dan bagi yang bersolat secara bersendirian. Masing-masing berzikir sendiri-sendiri. Adat yang diadakan manusia, iaitu imam menentukan doa buat solat subuh dan asar, tiada berasal sama sekali. Berjabat tangan sesudah solat subuh dan asar adalah suatu bid’ah”. [al-Majmu’ ІІІ: 484, 492, dinukil daripada majalah i keluaran Feb 2007, ms 76]

Berkata al-Imam Ibnul Qayyim: “Imam berdoa sesudah salam daripada solat sambil menghadap qiblat, atau menghadap makmum tidak pernah dikerjakan Nabi, yang senantiasa bertindak sebagai Imam, dan tidak ada pula riwayat yang menyuruh kita mengerjakan yang sedemikian itu.” [Zadul Ma’ad jilid І, ms 93, dinukil daripada Al-Bid’ah bahaya dan keburukannya oleh Drs, Abdul Ghani Azmi Bin Hj. Idris, ms 208] Renungkan sebuah hadis yang panjang di bawah:

Daripada ‘Amr bin Salamah (seorang tabi’i) katanya: “Satu ketika kami duduk di pintu ‘Abd Allah bin Mas‘ud sebelum solat subuh. Apabila dia keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa al-Asy‘ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abd al-Rahman (gelaran kepada ‘Abd Allah bin Mas’ud) telah keluar kepada kamu?” Kami jawab: “Tidak!”. Maka dia duduk bersama kami sehingga ‘Abd Allah bin Mas‘ud keluar. Apabila dia keluar, kami semua bangun kepadanya.

Lalu Abu Musa al-Asy‘ari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman, aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak lihat – alhamdulilah – melainkan ianya baik”. Dia bertanya: “Apakah ia?”. Kata Abu Musa: “Jika umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk dalam lingkungan (halaqah) menunggu solat. Bagi setiap lingkungan (halaqah) ada seorang lelaki (ketua kumpulan), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak batu. Apabila lelaki itu berkata : Takbir seratus kali, mereka pun bertakbir seratus kali. Apabila dia berkata: Tahlil seratus kali, mereka pun bertahlil seratus kali. Apabila dia berkata: Tasbih seratus kali, mereka pun bertasbih seratus kali.” Tanya ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Apa yang telah kau katakan kepada mereka?”. Jawabnya: “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana menanti pandangan dan perintahmu”.

Berkata ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa mereka dan engkau jaminkan bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikit pun”. Lalu dia berjalan, kami pun berjalan bersamanya. Sehinggalah dia tiba kepada salah satu daripada lingkungan berkenaan. Dia berdiri lantas berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?” Jawab mereka: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman! Batu yang dengannya kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih”. Jawabnya: “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala-pahala kamu tidak hilang sedikit pun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih lagi ramai, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah. Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad, atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?”

Jawab mereka : “Demi Allah wahai Abu ‘Abd al-Rahman, kami hanya bertujuan baik.” Jawabnya : “Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak menepatinya.” Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menceritakan kepada kami satu kaum yang membaca al-Quran namun tidak lebih dari kerongkong mereka (ini merupakan salah satu sifat khawarij seperti diterangkan dalam hadis-hadis). Demi Allah aku tidak tahu, barangkali kebanyakan mereka dari kalangan kamu.” Kemudian beliau pergi.

Berkata ‘Amr bin Salamah: “Kami melihat kebanyakan puak tersebut bersama Khawarij memerangi kami pada hari Nahrawan.” [Hadis riwayat ad-Darimi di dalam Musnadnya dengan sanad yang dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadis as-Sahihah jilid 5, ms 11]

Maka dengan itu, segala tatacara ibadat zikir dan doa telah pun dikemukakan dalil-dalilnya. Adalah yang terbaik dengan mengikuti segala yang sudahpun ditunjuk oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis-hadisnya. Firman Allah:

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآَخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan Dia banyak menyebut Allah. [Surah al-Ahzab, ayat 21]

وَمَا آَتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Apa yang dibawa oleh Rasul maka ambillah, maka apa yang dilarang olehnya maka tinggalkanlah dan takutlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah sangat keras hukumannya. [Surah al-Hasyr, ayat 7]

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam:

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama kami ini yang bukan dari kami (yakni tiada dalam al-Quran dan Sunnah), maka dia tertolak (tidak diterima)". [Hadis riwayat Bukhari no: 2697, Muslim no: 1718 dengan lafaz yang sedikit berbeza. Hadis ni terdapat juga dalam Hadis al-‘Arba’in an-Nawawi no:5]

Akhir kalam

Semoga kita bersama-sama menegakkan sunnah Rasulullah yang sebenarnya dalam semua aspek ibadat dengan bersumberkan dalil-dalil daripada al-Quran dan Hadis. Sesiapa yang berusaha mencari sesuatu pandangan yang benar, pasti Allah temukan ia dengan suatu pandangan yang sebenarnya. Biarpun jelek dipandangan manusia tapi ia menepati kitabullah dan sunnah Rasulullah. Kerana telah banyak ayat-ayat dan hadis-hadis yang menggalakkan kita untuk berpandukan kepada keduanya ini.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri (orang yang berkuasa) di antara kamu. kemudian jika kamu berlainan Pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. [Surah an-Nisaa’, ayat 59]

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

Yang berusaha mendengarkan Perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. mereka Itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka Itulah orang-orang yang mempunyai akal (yang waras). [Surah az-Zumar, ayat 18]

Semoga kita menjadi orang yang mendapat petunjuk dan taufik dari Allah subhanahu wata’aala dan termasuk dalam golongan ulul albab (orang yang mempunyai akal yang waras. Wallahua’lam….

𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 𝘄𝘂𝗷𝘂𝗱 𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗵𝗮𝗺𝗽𝗶𝗿 𝘀𝗲𝘁𝗶𝗮𝗽 𝘇𝗮𝗺𝗮𝗻

Tulisan: Su Han Wen Shu Sumber: Facebook   𝗣𝗲𝗺𝗶𝗺𝗽𝗶𝗻 𝗳𝗮𝘀𝗶𝗸 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗲𝗻𝗰𝗲𝗺𝗮𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗺𝗮𝗶𝗻 ...